N51 Sungai Manila, Musa Aman sah tidak bertanding
Sebelum ini terdapat spekulasi awal bahawa dia akan bertanding sebagai calon bebas di N51 Sungai Manila selepas tidak tersenarai bertanding di mana-mana kerusi oleh Umno.
Ketika pencalonan ditutup, Musa terus tidak muncul di dewan untuk mengajukan pencalonannya, seperti yang dijangka.
Ini termasuk di dewan serbaguna Libaran, yang menjadi pusat penamaan calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga, iaitu kerusi yang disandangnya sejak 1994.
Dengan perkembangan ini, bermakna Musa sah tidak bertanding.
Petugas media yang menunggu ketibaannya mengatakan bahawa Musa dapat memerhatikan perjalanan penamaan calon dari kediamannya, yang terletak hanya beberapa ratus meter dari dewan.
Hanya pagar hijau dan pokok besar yang memisahkan perkarangan rumah Musa yang luas dan jalan di sebelah pusat penamaan calon.
Bekas Adun Sungai Sibuga itu mencetuskan spekulasi selepas dia memuat naik ciapan di Twitter awal minggu ini yang berbunyi: “Saya akan kembali ke Sungai Manila”.
Musa setakat ini masih menjadi ahli Umno walaupun kesetiaannya tidak jelas setelah berlaku perselisihan dengan ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin.
Spekulasi kononnya Musa akan menyertai adiknya, Anifah Aman yang mengetuai Parti Cinta Sabah (PCS) juga tidak menjadi kenyataan.
Sebaliknya, Anifah hari ini menyerahkan borang pencalonan bertanding kerusi DUN Bongawan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bongawan.
PCS dilapor meletakkan 72 calon pada PRN Sabah ke-15 kali ini.