Pemimpin Umno Libaran tolak calon Sg Manila, mahu Musa kembali
Lebih daripada 20 ketua cawangan Umno dari empat daerah pengundian di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) N51 Sungai Manila menolak calon parti itu, Mokran Ingkat.
Kurang dari tempoh 24 jam ke hari pencalonan pilihan raya negeri Sabah, pemimpin tempatan di situ sebaliknya menyuarakan sokongan mereka terhadap bekas ketua menteri dan Adun Sungai Sibuga Musa Aman.
Untuk rekod, nama Musa sebelum ini tiada dalalm senarai calon PN dan BN.
Ketua Umno Cawangan Taman Sri Gaya, Sapar Sastro (gambar kiri, atas) menyifatkan Mokran sebagai “tidak dikenali” di kawasan itu, kerana tidak pernah berkhidmat untuk pengundi di situ.
“DUN 51 Sungai Manila menolak calon yang telah diumumkan semalam kerana beliau tidak pernah berkhidmat di sini.
“Kami ingin menang […] Tiada pilihan (selain) Musa Aman.
“Kami mahu menang jadi buat cara mahu menang.
“Kalau mahu menang tukar calon. Kami mahu calon untuk ditukar,” kata Sapar yang ditemani oleh 23 pemimpin cawangan Umno dan penyokong.
Kerusi N51 Sungai Manila adalah salah satu kerusi daripada 13 kawasan DUN yang baru diwujudkan menjelang PRN Sabah.
Sebilangan pengundinya dipindahkan dari Sungai Sibuga, iaitu kerusi yang dipertahankan oleh Musa sejak 1994.
Sebilangan besar pemimpin cabang yang berkumpul hari ini merupakan dari golongan veteran parti dan mereka mendakwa bahawa Mokran, sebagai pendatang baru, bukanlah nama yang dikenali di kawasan itu.
Ketua Cabang Umno Rancangan Lubuh, Hassan Kibing juga mengatakan bahawa mereka akan berpihak kepada Musa tanpa mengambil kira keputusan yang dibuat.
“Apa-apa pun parti yang ditandingi, kita akan sokong dia (Musa),” kata Hassan sambil menambah baahwa Musa akan tetap meraih undi walaupun sebagai calon Bebas.
Difahamkan, Musa kini masih berada di Kuala Lumpur, meskipun pemimpin tertinggi BN dan PN kini berada di Kota Kinabalu untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi juga dijadualkan akan melawat pusat jentera kempen Umno di Libaran perang ini untuk bertemu dengan ahli jawatankuasa di situ dan ketua daerah mengundi.
Secara teknikalnya, Musa masih anggota dalam Umno, tetapi kesetiaannya terhadap parti itu tidak jelas sejak pilihan raya 2018.
Pada Rabu, Musa telah membangkitkan mengenai masa depan politiknya menerusi hantaran di Facebook yang samar-samar, “Saya akan kembali ke Sungai Manila”.
Selain pencalonan Mokran di Sungai Manila, Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin semalam turut mengumumkan bahawa Mohamad Hamsan Awang Supian sebagai calon Sungai Sibuga. Mkini
You must be logged in to post a comment.