Gendang kuasa Sabah dipalu Sabtu ini
MENYOROT peristiwa hujung Julai lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akhirnya terbubar berkuat kuasa pada 30 Julai sebagaimana yang diumumkan oleh Ketua Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Mohd Shafie yang merupakan Presiden Parti Warisan berkata, permohonan pembubaran itu sudah diperakukan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin. Perakuan itu bagi membolehkan pilihan raya negeri dikendalikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 60 hari.
Biarpun bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan 32 ahli DUN membuat permohonan untuk membuat semakan kehakiman terhadap keputusan Tun Juhar, namun keputusan akhir Mahkamah Rayuan menolak rayuan tersebut. Malahan Mahkamah Tinggi sebelum ini turut menolak permohonan tersebut.
Berikutan keputusan itu, pilihan raya negeri akan berlangsung seperti yang dijadualkan. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 September bagi penamaan calon, manakala pengundian pada 26 September.
Sebaik gendang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dipalu Sabtu ini, maka pastinya semua tumpuan terarah kepada Negeri Di Bawah Bayu itu.
Jika disemak trend netizen di media sosial, kebanyakan mereka menzahirkan rasa kurang senang kerana perlu mengundi lagi biarpun usia kerajaan negeri masih muda, namun terdapat juga yang bersetuju PRN diadakan kerana ‘semak’ dengan keadaan politik negara.
Antara rungutan netizen ialah mereka telah jelak dengan ahli politik yang terlibat dengan dakwaan rasuah dan salah guna kuasa. Maka inilah peluang setiap parti sama ada, Barisan Nasional, Perikatan Nasional mahupun Warisan Plus untuk memastikan calon masing-masing bebas rasuah.
Bukan hanya di Sabah, di Semenanjung turut merasakan bahang PRN yang bakal berlangsung. Makin ramai pimpinan tertinggi setiap parti meninggalkan Semenanjung dan mula ke Sabah untuk berkempen awal.
Ramai tertanya-tanya, mampukah Warisan mengekalkan kuasa sebagai kerajaan negeri? Keputusan PRN ini akan memberi gambaran tentang apa yang berlaku dengan pertembungan antara PN dan Pakatan Harapan kelak.
Wahai YB, rakyat sudah letih mengharap perubahan. Buatlah yang terbaik dan selamat berkempen.
You must be logged in to post a comment.