MCA tak letak calon ‘bidan terjun’ di Sabah
PUTRAJAYA: MCA sudah mengenal pasti anak tempatan yang boleh diketengahkan sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata parti itu tidak berhasrat mempertaruhkan calon ‘bidan terjun’, sebaliknya mereka yang diketengahkan memiliki kredibiliti tersendiri.
“Kalau PRN di Sabah, tak mungkin saya nak letak orang dari Semenanjung. Tidak akan ada calon ‘bidan terjun’ daripada MCA.
“Saya rasa dalam struktur MCA, 25 bahagian ada bakat tempatan. Kalau ada bakat di sana, kenapa kita nak letak ‘bidan terjun’? Tidak kenalah.
“Orang Sabah sudah tahu, sudah 29 tahun kita berada di sana,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Penggredan Institut Memandu Siri Dua di Kementerian Pengangkutan, hari ini.
Ka Siong enggan mengulas jika MCA akan kembali bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Luyang dan Kepayan seperti Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.
Sebaliknya, beliau berkata, semua pihak perlu menunggu sehingga hari penamaan calon pada 12 September ini.
Sebagai sebahagian daripada keluarga besar Barisan Nasional (BN), katanya, MCA akan bersama-sama memperkuatkan kerajaan memerintah iaitu Perikatan Nasional (PN).
“Kita ini dalam keluarga besar dan kita harap dapat memberi sumbangan kepada rakyat Sabah,” katanya.
PRN Sabah akan menyaksikan 73 kerusi DUN Sabah dipertandingkan berbanding 60 kerusi pada PRU-14 selepas Dewan Rakyat meluluskan usul tambahan 13 kerusi DUN Sabah.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 26 September ini sebagai tarikh PRN Sabah dan 12 September sebagai hari penamaan calon, manakala hari mengundi awal pada 22 September.
Terdahulu, Ka Siong yang juga Menteri Pengangkutan menyampaikan sijil pengiktirafan penggredan kepada 79 institut memandu (IM) yang mencapai penarafan lima bintang.
Turut diberi sijil pengiktirafan, 16 IM mencapai penarafan empat bintang dan 51 yang lain diiktiraf sebagai tiga bintang.