Azmin, Zuraida dilantik anggota MPT Bersatu
Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin, yang baru-baru ini menyertai Bersatu setelah berpaling tadah daripada Pakatan Harapan, telah dilantik sebagai anggota Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu.
Menurut kenyataan Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin, keputusan itu dibuat oleh presiden parti Muhyiddin Yassin pada MPT semalam (7 September).
Sebagai rekod, Azmin adalah timbalan presiden PKR manakala Zuraida pula adalah naib presiden Kedua-dua mereka serta beberapa bekas ahli parlimen PKR lain menyertai Bersatu secara rasmi bulan lalu.
Mereka memilih untuk menyokong Muhyiddin pada Februrari lalu dan bersama menyokong membentuk kerajaan Perikatan Nasional.
Muhyiddin, yang juga adalah perdana menteri, memilih mengekalkan Hamzah sebagai setiausaha agung, sementara bekas pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan kini dilantik sebagai ketua penerangan parti. Dia juga adalah anggota MPT pada penggal sebelum ini.
Tokoh lain yang dilantik menganggotai MPT adalah ahli parlimen Alor Gajah, Mohd Redzuan Md Yusof, yang adalah bekas pengerusi Bersatu Melaka dan bekas ketua bahagian Masjid Tanah.
Redzuan gagal mempertahankan jawatan ketua bahagian dan dikalahkan oleh ahli parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin, yang merupakan bekas ketua Puteri Umno, pada Februari.
Turut dilantik oleh presiden menganggotai MPT termasuk Mohamed Salleh Bajuri, yang juga dilantik semula sebagai bendahari parti, Menteri Pembangunan Luar Bandar Abdul Latiff Ahmad, Abdul Rashid Ansari dan Muhammad Faiz Na’aman.
Dalam kenyataan hari ini, Hamzah memaklumkan bahawa Muhyiddin pada mesyuarat semalam turut melantik ketua Bersatu negeri dan timbalannya.
Antara pelantikan ketua negeri ialah Hamzah, yang kini menjadi ketua Bersatu Perlis, bekas setiausaha eksekutif Muhammad Suhaimi Yahya (Wilayah Persekutuan), Mohd Suhaimi Abdullah (Kedah), Shabudin Yahaya (Pulau Pinang), Abdul Rashid Asari (Selangor) Eddin Syazlee Shith (Negeri Sembilan), Mohd Rafiq Naizamohideen (Melaka), Kamarudin Md Nor (Kelantan), Razali Idris (Terengganu), Hajiji Mohd Noor (Sabah), dan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian (Sarawak).
Muhyiddin turut melantik dirinya sebagai ketua Bersatu Johor, sementara timbalan presiden Ahmad Faizal Azumu adalah ketua Bersatu untuk Perak dan Pahang.
Sementara itu, MPT pada mesyuarat semalam juga memutuskan untuk melantik ketua untuk beberapa biro.
Muhyiddin adalah pengerusi biro politik Bersatu, Ahmad Faizal (biro pengurusan), Ronald Kiandee (biro pilihan raya dan kajian), Mohd Radzi Jidin (biro latihan dan perkaderan), Rafiq (biro penambahan ahli dan cawangan), dan Shabudin Yahaya (biro agama).
Majlis itu juga memutuskan untuk melantik Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mustapa Mohamed sebagai pengerusi biro ekonomi, sementara Azmin, yang adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dilantik menerajui biro antarabangsa Bersatu. Mkini