Saya hilang satu-satunya anak perempuan tunggal
“Kebiasaannya, setiap kali dia hendak pulang mengajar, dia pasti akan hulur sedikit wang belanja untuk saya tetapi pelik apabila tidak berbuat demikian minggu lalu. Mungkin itu tanda dia mahu saya ingat pada dia sebelum dia pergi buat selama-lamanya.”
Demikian kata Othman Darus, 62, bapa kepada Nur Anisah Othman, 29, guru yang maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki bersama tiga rakannya terbabas dan terjunam ke dalam gaung di Kampung Long San kira-kira 220 kilometer dari Miri, Sarawak.
Othman berkata, menjadi kebiasaan anak perempuannya itu menghulurkan wang belanja setiap kali dia hendak pulang mengajar di Sarawak.
“Bagaimanapun selepas arwah hendak pulang ke mengajar pada minggu lalu dia tidak hulur apa-apa.
“Saya tidak kisah kerana tidak meminta pun tetapi agak pelik apabila perkara kebiasaan yang dia selalu lakukan setiap kali hendak pulang ke Sarawak tidak dilakukannya.
“Mengenangkan saat pemergiannya buat hati saya terlalu sebak apatah lagi dia seorang anak yang sangat baik dan satu-satunya anak perempuan tunggal saya namun saya reda dengan ketentuan ini,” katanya.
Othman berkata, anak perempuannya itu sudah enam tahun mengajar di Sarawak dan beberapa kali memohon pertukaran ke Semenanjung namun gagal.
“Dia baharu berkahwin setahun yang lalu dan tidak lagi dikurniakan zuriat.
“Memang sedikit terkilan kerana orang lain mudah sangat nak dapat tukar tetapi anak saya sudah enam tahun mengajar namun permohonannya sentiasa gagal,” katanya.
Nur Anisah maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki bersama tiga rakannya terbabas dan terjunam ke dalam gaung di Kampung Long San pada 3 September lalu.
Mereka terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke sekolah selepas tamat tempoh kuarantin di sebuah hotel.
Tiga rakannya hanya mengalami kecederaan.
Jenazah kini dalam perjalanan dari Sarawak ke Pulau Pinang dan dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Cherok Tokun, jam 2 pagi nanti. HM