Isteri MB Selangor mohon maaf, jelaskan lori Air Selangor bukan untuk kolam renang

Isteri menteri besar Selangor, Masdiana Muhamad hari ini memohon maaf secara terbuka atas tindakannya memuat naik beberapa keping gambar di media sosial hingga menimbulkan pelbagai tafsiran banyak pihak.

Masdiana berkata, dakwaan yang mengatakan lori tangki air Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd datang ke rumahnya untuk memenuhkan kolam renang adalah tidak benar sama sekali.

“Sebagai seorang ibu saya cuma ingin menyampaikan rasa berterima kasih kepada petugas barisan hadapan Air Selangor yang bertungkus lumus sejak beberapa hari lepas, bukannya niat untuk bermegah-megah.

“Saya memohon maaf sekiranya tindakan tersebut mendatangkan sebarang bentuk salah tafsir dan mengguris perasaan mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas Masdiana, beliau sendiri akan turun bersama petugas barisan hadapan Air Selangor untuk membantu penduduk di kawasan yang belum menerima bekalan air, terutamanya golongan ibu tunggal dan warga emas.

Terdahulu, Masdiana dikritik atas tindakannya memuat naik beberapa gambar di kediaman rasmi menteri besar yang memperlihatkan kolam renang dan lori tangki air hingga menimbulkan pelbagai spekulasi.

Ini susulan masalah gangguan bekalan air yang dihadapi rakyat negeri itu berpunca daripada pencemaran air yang berlaku di Sungai Gong, Rawang sejak Khamis lepas.

Ketua Komunikasi Korporat, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri sebelum ini berkata, 618 kawasan kini pulih sepenuhnya, manakala 674 masih lagi dalam proses penyaluran semula bekalan air sehingga jam 12:30 tengah hari tadi.

Elina berkata, kira-kira 47.83% daripada 1,292 kawasan terbabit dengan gangguan bekalan air tidak berjadual setakat ini pulih sepenuhnya. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker