Penduduk haram Israel serang wanita hamil guna batu
TEBING BARAT, 16 Muharram 1442H, Jumaat – Empat penduduk Palestin termasuk wanita hamil cedera selepas kereta yang dinaiki diserang oleh penduduk haram Israel menggunakan ketulan batu, menurut agensi berita Wafa.
Dalam kejadian petang semalam, penduduk Zionis melakukan perbuatan biadab itu terhadap kesemua mangsa yang sedang dalam perjalanan ke kampung Turmus Ayya, di utara Ramallah yang diduduki.
Wanita yang hamil sembilan bulan itu cedera parah dan dirawat di Kompleks Perubatan di Ramallah.
Saksi kejadian ketika memberitahu kumpulan hak asasi Yesh Din berkata, kira-kira 60 penduduk haram Yahudi telah berkumpul di Laluan 60 – sebuah lebuh raya yang melintasi Tebing Barat, sebelum melemparkan ketulan batu ke arah kenderaan milik warga Palestin yang melalui kawasan berkenaan.
Sebanyak dua kenderaan milik warga Palestin telah mengalami kerosakan pada hari kejadian.
Ketika keluarga yang berasal dari kampung Kafr Malek, di Timur Ramallah itu berusaha melarikan diri, penduduk haram tetap berterusan menyerang dan melempar ketulan batu ke arah mangsa.
Serangan dan perbuatan vandalisme sering dilakukan oleh penduduk haram Yahudi serta rejim pengganas Israel ke atas penduduk Palestin, di Tebing Barat yang diduduki.
Mengulas kejadian itu, Kementerian Luar Negeri Palestin dalam satu kenyataan berkata, pemimpin Yahudi bertanggungjawab sepenuhnya atas kejadian menimpa rakyat Palestin serta memberi amaran akan kesan buruk akibat serangan berkenaan.
“Ia adalah sebahagian serangan penjajah Israel terhadap rakyat dan harta benda kita (Palestin),” katanya.
Dalam kenyataan sama, kementerian itu turut menyeru masyarakat dunia untuk menggesa Israel menghentikan serangan itu.
Katanya, kehidupan rakyat Palestin menjadi kurang penting dan beberapa negara masih tidak mengakui bahawa Israel perlu bertanggungjawab atas kejahatannya. -Agensi
You must be logged in to post a comment.