Dengan sekali lafaz Mira Filzah bergelar isteri kepada Wan Emir Astar
Dengan hanya sekali lafaz, pelakon dan pengacara jelita, Mira Filzah bergelar isteri kepada Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar sebentar tadi.
Pasangan berkenaan dinikahkan oleh bapa Mira Filzah, Ir Badioezaman Ab Khalik dalam satu majlis yang diadakan di sebuah pusat konvensyen di Bukit Kiara di sini.
Wan Emir Astar yang juga seorang artikek menghadiahkan isterinya seutas gelang emas sebagai mas kahwin.
Wan Emir Astar merupakan anak kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datin Mastura Mohd Yazid.
Majlis pernikahan pasangan ini berlangsung dalam suasana yang sederhana dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan pihak berkuasa. Awani
Cinta bermula dengan mesej.
Bermula dengan mesej, Mira menjelaskan dia menjadi semakin terbuka untuk berkenalan dengan lelaki pilihan hatinya itu sebelum ini. Malah dia menjelaskan hanya memerlukan lima hingga enam kali pertemuan sahaja sebelum memutuskan untuk mendirikan rumah tangga dengan Emir.
“Saya selesa dan okay mengatur pertemuan seterusnya. Selepas lima hingga enam kali berjumpa, saya beritahu emak mahu berkahwin dengan Emir, namun, dia masih belum melamar saya .
“Saya tidak tahu kenapa tetapi mungkin disebabkan gerak hati yang merasakan keputusan itu adalah tepat. Jadi, saya terus beritahu emak hasrat hati untuk berkahwin,” kongsinya.