Erti kemerdekaan sebenar

ALHAMDULILLAH pada 31 Ogos 2020, rakyat Malaysia telah meraikan Hari Kebangsaan kali ke-63. Tema tahun ini sangat menarik iaitu ‘Malaysia Prihatin’. Semoga tema itu benar-benar dihayati dan diaplikasi oleh seluruh rakyat Malaysia.

Semua bangsa mahukan kemerdekaan. Mereka mahukan satu kebebasan untuk menjalani kehidupan seharian mereka. Mereka mahukan kebebasan dalam membentuk acuan undang-undang, ekonomi, pendidikan dan segalanya mengikut adat dan budaya mereka.

Dalam Islam, kemerdekaan itu juga adalah satu tuntutan. Kemerdekaan secara fizikal memang penting. Pembukaan Makkah pada zaman Rasulullah SAW merupakan satu pencapaian kemerdekaan yang sangat bermakna dalam sejarah Islam. Ia adalah lambang kepada pembebasan manusia daripada belenggu kejahilan.

Pada zaman jahiliah, manusia memperhambakan manusia, hak kemanusiaan dinafikan, hidup berteraskan hawa nafsu dan sebagainya.

Akan tetapi dengan kemerdekaan yang dicapai itu, Rasulullah SAW berjaya mengembalikan kemuliaan manusia sehingga berjaya membina satu tamadun kemanusian yang sangat tinggi nilainya.

Dalam Islam, kemerdekaan atau kebebasan yang ingin dicapai mestilah berdasarkan apa yang telah ditetapkan dalam al-Quran dan hadis.

Ini bermakna, intipati kemerdekaan yang sebenar adalah kebebasan manusia daripada dorongan hawa nafsu dan syaitan, kebebasan daripada cintakan dunia yang melampau sehingga mengetepikan nilai-nilai akhlak dan etika.

Nafsu yang ada dalam diri manusia, jika tidak dikawal dan dihalakan kepada yang selari dengan syariat, pasti akan sentiasa mendorong manusia kepada kejahatan.

Jika seseorang manusia dibelenggu dengan nafsu jahat, kemerdekaan fizikal yang dicapai tiada ertinya.

Ini kerana, hidup masyarakat tidak akan harmoni apabila masyarakat bertindak berdasarkan nafsu semata-mata.

Kita dapat lihat bagaimana manusia yang bertindak berdasarkan nafsu ini sanggup membunuh, memfitnah, mengambil harta orang lain secara tidak hak dan pelbagai lagi bentuk kezaliman.

Selain daripada nafsu, kita juga mesti membebaskan jiwa dan minda kita daripada hasutan dan bisikan syaitan yang sentiasa mengajak kita melakukan perkara yang dimurkai ALLAH.

Syaitan telah berjanji kepada ALLAH bahawa dia akan berusaha sedaya upaya untuk menguasai manusia daripada semua arah sama ada di hadapan, belakang, kiri atau kanan.

Ini sepertimana yang terkandung dalam Surah al-A’raf ayat 17 yang bermaksud: “Kemudian saya akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka.

Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat). Hanya manusia yang ikhlas sahaja yang tidak mampu dikuasai syaitan.

”Seterusnya manusia yang mahukan kemerdekaan secara hakiki hendaklah juga membebaskan jiwa dan mindanya daripada cintakan dunia melebihi kecintaannya pada akhirat.

Manusia yang memperhambakan dirinya kepada dunia akan bertindak dalam semua perkara semata-mata untuk kepentingan dirinya.

Berapa banyak kita lihat pada hari ini, apabila seseorang itu mula ada kuasa, digunakan kuasa yang ada untuk memenuhi kepentingan peribadinya dan ahli keluarganya.

Kuasa yang ada diguna untuk menimbunkan harta tanpa menghiraukan dan mengambil kira sama ada ia diperoleh secara benar atau secara batil.

Akhir kalam, marilah kita berusaha untuk menjadi rakyat Malaysia yang merdeka dan bebas daripada dorongan nafsu dan syaitan serta kecintaan pada dunia agar kita berjaya menjadi rakyat yang perihatin. Wallahu a’lam.

*Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker