PRN Sabah: Amanah akan guna lambang Warisan
SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) memutuskan akan menggunakan lambang Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 26 September ini.
Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata, keputusan untuk menggunakan lambang Warisan adalah sebagai tanda sokongan terhadap kedudukan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah.
“Penggunaan lambang Warisan adalah sebagai tanda sokongan terhadap kedudukan Shafie sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah dan jawatan ini wajar dikembalikan kepadanya.
“Amanah bersetuju bahawa kedudukan Ketua Menteri perlu ditetapkan oleh rakyat Sabah melalui sebuah parti Sabah itu sendiri dan bukan oleh pihak Semenanjung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, walaupun PRN Sabah boleh menjadi satu peluang baik untuk Amanah memperkenalkan lambangnya namun keutamaan diberi sebagai tanda solidariti kebersamaan.
“Penggunaan lambang Warisan juga melambangkan penerimaan Amanah terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah lama dibelakangkan oleh Barisan Nasional (BN) sepanjang tempoh pemerintahan mereka,” katanya.
Dalam masa sama, Khalid berkata, Amanah menolak budaya politik khianat yang telah menyebabkan tumbangnya kerajaan Persekutuan dan beberapa kerajaan negeri termasuk Sabah.
“Sabah turut menjadi mangsa politik khianat ini dan kalau tidak kerana tindakan pantas oleh Shafie maka golongan yang ditolak rakyat telah pun membentuk kerajaan Sabah seperti yang berlaku di peringkat Persekutuan.
“Amanah berdiri teguh bersama Shafie dan Warisan dalam berjuang untuk mempertahankan kedaulatan rakyat Sabah yang dicabuli golongan pengkhianat ini,” katanya.