Detik cemas lelaki hampir diperkosa di Gombak
SEORANG lelaki berdepan detik mencemaskan apabila ditarik ke dalam kereta oleh lelaki gila seks yang bertindak membuka seluar sebelum mangsa menendang kemaluan suspek dalam kejadian di Batu 4, Gombak pada 29 Ogos lalu.
Dalam kejadian 9.30 malam itu, mangsa berusia 23 tahun yang berada di hadapan rumahnya didatangi jiran memberitahu ada seorang lelaki ingin bertemunya.
Menurut sumber, tanpa mengesyaki apa-apa mangsa pergi ke arah kereta itu sebelum tiba-tiba ditarik masuk ke dalam kenderaan terbabit.
“Dia cuba menjerit meminta pertolongan tetapi tiada siapa yang menyedarinya sebelum suspek bertindak membuka seluar.
“Terkejut dengan tindakan lelaki itu, mangsa terus menendang kemaluannya dan melarikan diri,” katanya.
Sumber berkata, bagaimanapun suspek yang berang mengejar mangsa dan menarik rambut serta menghempas kepalanya ke dinding rumah jiran.
“Malah mangsa yang terbaring turut dicekik dan ditumbuk di hidung sehingga berdarah.
“Suspek kemudian bertindak melarikan diri selepas kejadian itu disedari jiran. Mangsa yang cedera dibawa ke hospital untuk menerima rawatan,” katanya.
Dia yang bimbang dengan keselamatan diri kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Setapak untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut sedang dijalankan. HM
You must be logged in to post a comment.