Anggota tentera antara 5 ditahan dengan 30kg ganja bernilai RM75,000

Seorang anggota tentera berpangkat koperal antara 5 individu ditahan bersama ketulan mampat ganja seberat 30kg dalam satu serbuan di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Kelana Jaya Khamis lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata serbuan 4.30 petang itu hasil aduan orang awam dan risikan polis.

“Ketika serbuan berkenaan, 2 lelaki masing-masing berumur 24 tahun dan anggota tentera berusia 32 tahun itu berada dalam sebuah kereta. Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemui ketulan mampat ganja bernilai RM75,000.

“Turut ditahan 3 lelaki berumur 25 hingga 27 tahun dalam kenderaan berasingan. Polis percaya mereka mungkin bertemu untuk mengagihkan bahan terlarang itu,” katanya pada sidang media hari ini.

Latiff berkata, soal siasat mendapati 4 suspek terbabit merupakan rakan sekampung kepada anggota tentera itu dan dadah berkenaan dipercayai didapati dari negeri di pantai timur untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang.

Beliau berkata, hasil saringan air kencing mendapati anggota tentera yang berkhidmat selama 14 tahun dalam angkatan itu serta 2 rakannya negatif dadah, manakala 3 lagi positif methamphetamine serta amphetamine.

Katanya, 30kg ganja yang dirampas itu boleh dibekalkan kepada 60,000 penagih untuk sehari.

Katanya, semua suspek direman 7 hari sejak Khamis lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker