Siapa paling layak jadi PM?

KALAU anda ahli Pas, anda akan pilih Perdana Menteri dalam kalangan Yang Berhormat Pas sahaja. Kalau anda ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR), anda juga akan memilih PM yang sekurang-kurangnya sekutu bagi PKR.

Maknanya kita memilih PM berdasarkan parti. Alasan kita ialah setiap parti ada misinya. Maka, bila kita pilih parti, kita pilih misinya.

Ini adalah perspektif yang terlalu simplistik, yang melihat hanya pada kulit permainan politik. Bayangkan sekumpulan harimau menubuhkan sebuah parti politik yang menjanjikan misi membela maslahat kambing.

Kalau anda adalah kambing, adakah anda akan meletakkan nasib anda hanya pada misi parti harimau ini?

Misi parti harimau ini menjaga maslahat saya sebagai kambing, maka saya pilih parti ini.

Kita lihat bagaimana atas nama menjaga periuk nasi Pas, pemimpinnya menghalalkan pembohongan Nik Abduh Nik Abdul Aziz dalam isu audio suara.

Kita lihat bagaimana pada mulanya Pas menafikan wujudnya baiah talak tiga, tetapi akhirnya terbocor rahsia ini. Lalu pemimpinnya bertungkus lumus memberi pelbagai alasan untuk menghalalkannya. Akhirnya, selepas menghalalkannya, Pas pula berjanji tidak lagi mengamalkan baiah talak tiga!

Sekarang isu Menteri Pas pula diberi layanan istimewa dengan hanya didenda RM1,000 kerana langgar prosedur operasi standard (SOP) kuarantin Covid-19 sedangkan rakyat marhaen didenda jauh lebih tinggi dan dipenjarakan.

Adakah janji dan misi sebuah parti berjubahkan Islamik, atau bertopengkan liberal benar-benar Islamik atau benar-benar liberal?

Bila DAP memerintah dulu, kita perlu ingat bagaimana mereka berusaha menghalau Dr Zakir Naik balik ke India dengan pelbagai alasan. Isunya bukan sekadar tentang Dr Zakir Naik sebenarnya. Isunya soal hak asasi kemanusiaan yang DAP selama ini memperjuangkan atas nama liberalisme.

Tetapi bila tiba soal hak asasi seorang pendakwah Muslim antarabangsa, DAP pula bersikap anti-hak asasi kemanusiaan pula! Pihak Dr Zakir Naik telah mencabar penfitnah-penfitnah untuk kemukakan bukti bahawa beliau adalah teroris, tiada seorang pun yang berani berdebat. Tetapi mengapa DAP masih kekalkan jawatan pemfitnah-pemfitnah ini yang jelas melanggar prinsip liberalisme?

Walaupun isu-isu lama, tetapi ini adalah sejarah. Sejarah mengajar kita tentang hakikat budaya politik kepartian.

Hakikatnya ialah parti yang dikuasai oleh harimau tetap memiliki nafsu yang kuat untuk makan kambing walaupun misi partinya berjanji menjaga maslahat kambing. Setiap ahli politik adalah harimau lapar tidak kira parti.

Kalau anda begitu mudah percaya dengan janji parti, memang anda seolah-olah kambing yang percaya pada janji harimau lapar! Anda bebas untuk percaya pada sesiapa pun!

Persoalannya, siapa paling layak jadi PM? Kambing tidak mampu lawan harimau seorang diri. Tetapi kambing akan berjaya membela diri kalau kambing-kambing semua bersatu dan melihat parti politik sebagai alat harimau untuk mempermainkan kambing.

Yahudi hanya satu peratus di Amerika tetapi mereka menguasai pemilihan Presiden Amerika melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Yahudi bernama AIPAC. Belajarlah daripada strategi Yahudi menggunakan sistem liberal demokrasi untuk menjaga maslahat Israel.

Untuk lawan harimau, kambing perlu cerdik. Kerap wujudkan budaya jidal politik antara YB-YB demi untuk menilai ketelusan mereka dan siapa bakal PM kita. Tukang tembelang sangat fobia pada ketelusan.

Fokus pada membina budaya mempersoalkan ketelusan parti dan pemimpin. Berhati-hati dengan YB yang percaya prinsip bahawa parti aku semua betul, parti kau semua salah!

* Xifu Naser ialah Tokoh Pendakwah Perak

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker