Usaha hadkan dua penggal adalah agenda politik PH – Azmin
Usaha mengehadkan jawatan Perdana Menteri supaya tidak melebihi dua penggal merupakan janji Pakatan Harapan (PH) yang menyimpan agenda politik untuk kepentingan sendiri.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, reformasi bukan nama khas yang dimonopoli PH, tetapi kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga mengusahakan reformasi Parlimen dan sistem dalam kerajaan.
Ditanya mengenai kerajaan PN yang menarik balik rang undang-undang untuk mengehadkan jawatan seseorang Perdana Menteri kepada dua penggal, Mohamed Azmin berkata: “Ini janji PH, bukan PN.”
“Sesetengah janji adalah dibuat kerajaan terdahulu dan lebih cenderung kepada motif politik atau untuk kepentingan politik sendiri.
“Yang pasti, PN juga giat melakukan reformasi dan akan terus memastikan pembaharuan dalam Parlimen dan sistem dapat dijalankan.
“Ini termasuk membenarkan wakil rakyat pembangkang mempengerusikan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC),” katanya kepada Sinchew Daily.
Mohamed Azmin berkata, bukan PH sahaja yang tahu melaksanakan pembaharuan.
“Adalah tidak adil jika ada yang berkata usaha reformasi adalah milik PH sahaja.
“Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan PN juga berusaha melakukan reformasi,” katanya.
Menurutnya, prestasi PN dalam memerangi wabak COVID-19 dan merangsang ekonomi adalah jelas kelihatan. – MalaysiaGazette
You must be logged in to post a comment.