13 banduan penjara seumur hidup dikurnia pengampunan Yang di-Pertuan Agong

Hari Kemerdekaan ke-63 amat bermakna buat 13 banduan yang dipenjarakan seumur hidup pada 2001 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur apabila dibebaskan atas pengampunan Yang Di-pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Isnin.

Dalam satu kenyataan media Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan, baginda berkenan mengurniakan pembebasan awal pada kesemua banduan terbabit bersempena Hari Kemerdekaan ke-63.

“Al-Sultan Abdullah dengan nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dalam Mesyuarat kali ke-55 yang bersidang pada 4 September, 2019 telah bertitah perkenan untuk 13 banduan tersebut dibebaskan pada suatu tarikh yang akan dimaklumkan.

“Susulan daripada mesyuarat ini, Al-Sultan Abdullah dengan nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dalam Mesyuarat kali ke-56 yang bersidang pada 24 Julai 2020, telah berkenan mengurniakan pembebasan awal kepada 13 banduan tersebut, berkuat kuasa pada bulan Ogos 2020,” katanya.

Perkenaan baginda dibuat menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan susulan daripada nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Kesemua 13 banduan itu dihukum penjara sepanjang hayat sejak dari tahun 2001 itu telah membuat rayuan pengampunan terhadap hukuman tersebut.
Pengurniaan pengampunan itu jelasnya bertujuan memberi peluang kepada semua kerana berkelakuan baik untuk kembali ke pangkuan masyarakat.

“Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan agar kesemua 13 banduan mengenang kembali kesilapan, terus memohon keampunan dan menilai sejauh mana hubungan mereka dengan Tuhan dan keluarga serta masyarakat.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar mereka menjalani kehidupan yang baru bersama keluarga tersayang dan masyarakat dengan berfaedah dan masing-masing memainkan peranan sebagai rakyat yang berbakti kepada agama, bangsa dan negara,” jelas Datuk Pengelola Bijaya Diraja itu.

Kesemua banduan itu telah didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup pada 28 Disember 2001 atas kesalahan berperang atau cuba berperang atau menyubahati berperang melawan Yang di-Pertuan Agong atau Raja atau Yang di-Pertua Negeri.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker