PrkSlim : SPR akui salah faham, harap pengundi berseluar pendek ‘tidak merajuk’
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengakui berlaku salah faham susulan insiden pengundi berseluar pendek dilarang masuk ke pusat mengundi pagi tadi.
Pengerusinya, Abdul Ghani Salleh berkata, tiada peraturan khusus di bawah Akta Pilihan Raya yang melarang pengundi berseluar pendek mengundi, sebaliknya larangan dibuat ke atas individu yang memakai baju parti.
Beliau seterusnya berharap pengundi terlibat datang semula ke pusat mengundi untuk mengundi dan “tidak merajuk”.
“Ada insiden sedikit kerana salah faham. Kalau ikutkan tidak ada masalah, cuma berlaku sedikit salah faham.
“Yang tak boleh masuk jika dia (pengundi) berpakai parti dan menjolok mata. Pakai seluar pendek bagi saya (tiada masalah) pengundi boleh datang semula jangan merajuk,” katanya pada sidang media selepas melawat pusat mengundi PRK Slim di SK Aminuddin Baki di sini.
Mengulas perjalanan proses pengundian hari ini, Abdul Ghani berkata, golongan warga emas ramai keluar mengundi pagi tadi.
“Peratusan pagi ini warga emas ramai. Keadaan sesak di 2 sekolah. Jam 11 pagi, 29%. Setiap jam lebih kurang 10%. Peratusan baik di PRK Slim.
“Saya menyeru pengundi keluar mengundi beramai-ramai. Di peringkat SPR, (kita jangka) 85% sebab masa panjang bagaimana kita gazetkan, iaitu dari 8 pagi hingga 5.30 petang,” katanya merujuk kepada jangkaan peratusan keluar mengundi 85% dalam PRK kali ini.
“Kalau kita lihat trend, walaupun diberikan masa, pengundi keluar bersama keluarga. Saluran yang kita tetapkan, SPR ambil inisiatif berikan masa supaya pada awal pagi tidak terlalu ramai.
“Saya lihat di 2 pusat mengundi di SK Trolak Selatan memang ramai. Bila warga emas, anak hantar, adik hantar. Ada ‘buggy’ dan sebagainya,” katanya,
Abdul Ghani sekali lagi menasihatkan penyokong parti supaya tidak menjalankan aktiviti meraih undi pada hari mengundi.
“Masa untuk berkempen telah berlalu. Ia tidak sepatutnya, kita tidak galakkan dan tak boleh. Kadang-kadang mereka ini buat khemah untuk memberi kemudahan dari segi bekalan. Ini kita tidak ada masalah, untuk keselamatan.
“Saya melihat keadaan aman. Kalau sebelum ini nak masuk pun susah. Tiada bendera 2-3 lokasi yang saya lawat. Ini perubahan,” katanya.
Terdahulu, proses pembuangan undi bagi PRK Slim pagi ini kecoh seketika susulan salah faham berhubung pakaian yang dibenarkan.
Kejadian berlaku di pusat mengundi di SK Aminuddin Baki apabila beberapa pengundi tidak dibenarkan masuk membuang undi kerana berseluar pendek.
Beberapa individu dilihat mengoyak kad maklumat pengundi SPR kerana berang dengan larangan itu. FMT
You must be logged in to post a comment.