‘Keli Boy’ lesap
MENGEJUTKAN apabila kelibat tonggak Pahang, Mohamadou Sumareh tidak lagi kelihatan menjalani latihan bersama skuad Tok Gajah sejak sebulan lalu sekali gus mencetuskan persoalan ke mana perginya pemain naturalisasi pertama negara itu.
Perkara terbabit menjadi lebih hangat selepas tonggak utama Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid akan berkelana ke kelab liga utama Portugal, Portimonense SC sekali gus memungkinkan Sumareh akan menggantikan posisi yang ditinggalkan pemain terbabit kelak.
Menurut sumber Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP), sememangnya ada ura-ura Sumareh akan beralih pasukan dalam masa terdekat ini, namun tidak mengetahui destinasi sebenar pemain terbabit.
“Jika dia mahu tinggalkan pasukan lebih baik gunakan cara betul iaitu tunggu sehingga saingan liga musim ini tamat dan mengadakan perbincangan jika benar mahu ke pasukan lain.
“Kami mengetahui Sumareh mahu melebarkan lagi karier ke pasukan yang lebih baik dan tiada halangan jika mahu berbuat demikian,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.
Sebelum ini, sudah bertiup kencang Sumareh akan ke JDT sebaik kontraknya tamat hujung tahun ini sekali gus mengikuti jejak langkah bekas rakan sepasukan, Matthew Davies.
Sementara itu, Pengurus Pahang, Datuk Suffian Awang ketika dihubungi Arena Metro memberitahu kemungkinan Sumareh sudah tiada lagi hati untuk bersama skuad Tok Gajah.
“Saya hanya boleh mengesahkan memang dia tidak hadir pada sesi latihan sejak sebulan lalu dan mungkin hatinya tidak lagi bersama Pahang,” katanya.
Arena Metro turut menghubungi pemain kebangsaan terbabit menerusi aplikasi WhatsApp, namun Sumareh enggan menjelaskan situasi sebenar.
You must be logged in to post a comment.