Rais Yatim tidak sesuai jadi presiden Dewan Negara – Pembangkang
Barisan senator pembangkang menggesa kerajaan Perikatan Nasional untuk mempertimbangkan semula rancangan untuk melantik pemimpin Bersatu Negeri Sembilan, Rais Yatim sebagai Presiden Dewan Negara.
Menurut mereka, Rais yang juga adalah bekas menteri Umno yang kemudiannnya berpaling tadah menyertai Bersatu, “tidak sesuai” untuk memegang peranan itu.
“Dewan Negara adalah fitrahnya sebuah dewan yang harmoni dan kurang berbalah; justeru, ia memerlukan seorang presiden yang mampu memupuk konsensus dalam kalangan anggotanya.
“Kami berpendapat bahawa Tan Sri Rais Yatim bukanlah individu yang sesuai untuk memegang peranan tersebut,” kata kenyataan yang dikirim oleh beberapa senator pembangkang itu.
Ia ditandatangani oleh Yusmadi Yusoff (PKR), Aiman Athirah Al Jundi (Amanah), Liew Chin Tong (DAP), Theodore Douglas Lind (Warisan), Donald Peter Mojuntin (Upko) dan Marzuki Yahya (Pejuang).
Rais mengangkat sumpah sebagai senator pada 16 Jun lalu. Tempoh penggal presiden dewan negara sebelum itu, SA Vigneswaran berakhir pada 22 Jun.
Sebelum ini adalah dilaporkan bahawa Rais, disebut-sebut akan menggantikan presiden MIC itu.
Rais juga pernah berkhidmat sebagai menteri besar Negeri Sembilan dari tahun 1978 hingga 1982, ketika masih bersama Umno.
Dia juga menerajui beberapa kementerian sepanjang karier politiknya – antaranya Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta Kementerian Luar Negeri.
Rais pernah meninggalkan Umno pada tahun 1990 untuk bergabung bersama bekas menteri kewangan Tengku Razaleigh Hamzah dan menubuhkan parti serpihan Semangat 46. Dia kembali ke Umno setelah parti itu dibubarkan.
Rais sekali lagi keluar dari Umno buat kali kedua selepas PRU14 pada 2018 dan menyertai Bersatu. Mkini
You must be logged in to post a comment.