Racun membunuh dalam senyap
Kes pembesar atau orang kenamaan diracun berlaku sejak zaman silam lagi. Pada zaman moden, kes pembesar diracun mungkin jarang berlaku. Justeru, agak mengejutkan apabila timbul berita kononnya Alexei Navalny diracun ketika minum teh di Lapangan Terbang Tomsk Bogashevo, Siberia.
Ramai yang terkejut dengan berita tersebut. Mana mungkin dan bilakah masanya pemimpin pembangkang Rusia serta pengkritik nombor satu Presiden Rusia, Vladimir Putin itu diracun.
CNN Moscow pada 20 Ogos 2020 melaporkan pesawat membawa Navalny melakukan pendaratan cemas di Omsk, selatan Rusia. Laporan menyebut Navalny hanya minum secawan teh O panas di Tomsk sebagaimana dakwaan stesen radio tempatan, Echo of Moscow. Pemimpin pembangkang itu dihantar ke hospital di Omsk dan doktor membayangkan betapa racun menyerap lebih cepat melalui cecair panas.
Kem Navalny mendakwa pemimpin pembangkang berkenaan diracun untuk kali kedua setakat ini. Kali pertama ketika beliau menjalani hukuman penjara kerana mengetuai tunjuk perasaan di Moscow tahun lalu.
Berita dari Jerman pula menyebut pakar perubatan sedang bertungkus lumus untuk menyelamatkan Navalny. Khabarnya, pemimpin pembangkang berusia 44 tahun itu selamat namun masa depannya tidak dapat dipastikan.
Sebenarnya, banyak kes kematian rakyat Rusia akibat diracun. Pada 2018, seorang pegawai tentera Rusia, Sergei Skripal dan anak perempuannya, Yulia Skripal, diracun di Salisbury, England. Organisasi Larangan Senjata Kimia atau Organization for the Prohibition of Chemical Weapons (OPCW) mendakwa General Skripal hampir maut kerana terminum racun jenis ejen saraf Novichok.
Nota kejuruteraan perubatan kimia menjelaskan Novichok boleh menyerap ke dalam saluran darah melalui kulit dan penghantaran bahan kimia beracun boleh terbentuk kepada saraf yang dipanggil asetilkolin. Kekejangan otot boleh berlaku sekali gus menyebabkan sistem lain dalam badan gagal dikawal. Ia mampu membunuh manusia sehingga lapan kali ganda lebih pantas daripada racun jenis VX.
Maut
Sejarah membuktikan racun adalah senjata pembunuh yang digunakan di China sejak 200 tahun Sebelum Masihi (SM). Sejarah racun di Cina merujuk ia sebagai kesan toksik daripada jenis ‘keabadian elixir’ yang mengandungi logam dan mineral jenis cecair raksa serta arsenik.
Maharaja China pertama yang maut akibat keracunan elixir ialah Maharaja Qin Shi Huang pada 210SM manakala yang terakhir Maharaja Yongzheng pada 1735 Masihi. Agak pelik jenis racun yang digunakan untuk membunuh maharaja tersebut tidak dapat dikenal pasti meskipun ramai saintis melakukan kajian sejak lebih 2,000 tahun lalu.
Maharaja Qing turut terpalit sejarah mati diracun. Kematian Maharaja China berusia 38 tahun itu akibat diracun, dirahsiakan sehingga kini. Rekod perubatan kerajaan China sekadar menunjukkan kematian Maharaja Qing (1875-1908) disebabkan faktor semula jadi. Namun, data kajian sains moden membuktikan beliau mati akibat racun arsenik.
Kajian penulis mendapati analisis rambut maharaja tersebut mengandung kandungan arsenik 2,400 kali lebih kuat daripada racun biasa. ALLAH SWT telah mengkiaskan racun sebagai sihir yang membawa kerosakan kepada kehidupan manusia. Surah Yunus ayat 81 membayangkan senario: “Maka setelah mereka lemparkan (lakukan), Musa berkata: Apa yang kamu lakukan itu, itulah yang sihir, sesungguhnya ALLAH akan menampakkan ketidak benarannya. Sesungguhnya ALLAH tidak akan membiarkan terus berlangsungnya pekerjaan orang-orang yang membuat kerosakan.”
Penulis mendapati racun digunakan sebagai senjata membunuh pembesar tidak banyak tercatat dalam sejarah alam Melayu. Namun, berita Navalny diracun agak mengejutkan kerana kem pemimpin pembangkang tersebut dilaporkan sangat berhati-hati sejak beliau terkena serangan racun pada 2019.
Ia memberi konotasi bahawa racun kekal menjadi senjata pembunuh tanpa kerelaan manusia. Penulis percaya racun tidak seharusnya menjadi senjata pembunuh kerana ia bertentangan hukum ALLAH.
* Profesor Madya Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor