Ke mana arah pengundi muda?
Memang tidak dapat dinafikan undi golongan muda sangat penting dalam pilihan raya umum akan datang.
Faktor sokongan pengundi muda terhadap mana-mana parti politik sangat penting walaupun pola pengundian di negara ini cenderung kepada kaum, lokasi dan isu-isu yang berkait dengan ekonomi.
Terdapat beberapa kajian yang dibuat oleh penyelidik terdahulu mengenai pola sokongan pengundi muda pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) dan PRU13 yang menemui beberapa penemuan menarik.
Antaranya ialah golongan muda sebenarnya ambil peduli tentang politik di Malaysia. Mereka didapati mempunyai kriteria pemilihan calon yang sangat terperinci dan mereka juga benar-benar yakin bahawa calon yang mereka pilih mampu menyuarakan hasrat dan aspirasi golongan tersebut.
Menurut kajian Pola Sokongan Pengundi Muda Sebelum PRU14 di Malaysia yang dilakukan Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris mendapati pengundi muda telah menggunakan hak mereka sebagai pengundi sebelum PRU14.
Menurut mereka, pengkaji terdahulu telah merumuskan bahawa orientasi politik orang muda tidak lagi boleh dibahagikan mengikut sosioekonomi, sebaliknya nilai yang mereka pegang kini merentasi kaum dan kelas ekonomi.
Perubahan terhadap pola pengundian golongan muda telah berlaku sebelum PRU14 menyaksikan Pakatan Harapan (PH) berjaya memecahkan monopoli Barisan Nasional (BN) selama 60 tahun apabila memenangi 113 daripada 222 kerusi Parlimen termasuk tambahan lapan kerusi di Sabah yang dimenangi oleh parti Warisan.
Kemenangan itu menyaksikan PH memperoleh 48 peratus undi popular. Sementara itu, BN meraih 34 peratus undi popular dan Gagasan Sejahtera pula mendapat 17 peratus undi popular daripada keseluruhan 12,299,514 yang keluar mengundi pada 9 Mei 2014.
Dalam manifesto PH, mereka telah berjanji untuk menurunkan had umur mengundi. PH telah membentangkan di Dewan Rakyat usul pendaftaran automatik pemilih yang berumur 18 tahun.
Dianggarkan seramai 7.8 juta pengundi baharu akan didaftarkan sebagai pemilih dalam Daftar Pemilih untuk tempoh lima tahun akan datang.
Perubahan itu dilihat akan merubah landskap dan senario politik tanah air pada masa akan datang.
Pengundi muda menjadi penentu pembentukan kerajaan pada masa akan datang kerana jumlah mereka melebihi 48 peratus daripada jumlah pengundi keseluruhan.
Statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula menunjukkan seramai 18.8 juta yang layak mendaftar sebagai pemilih jika PRU15 diadakan pada tahun 2023.
Data juga menunjukkan seramai 15 juta pemilih telah mendaftar sehingga suku pertama tahun 2019.
Bagaimanapun, timbul polemik dalam kalangan penganalisis politik yang mengatakan pada usia 18 tahun, golongan muda masih belum matang untuk membuat penilaian dan pertimbangan politik yang baik.
Bagaimanapun, mereka harus ingat bahawa golongan muda sekarang merupakan pengguna aktif sosial media yang terdedah dengan kepelbagaian maklumat dan data.
Lewat
Sebenarnya Malaysia antara negara yang agak lewat menurunkan had umur mengundi ke usia 18 tahun.
Dalam ASEAN, negara yang memastikan had umur 18 tahun layak mengundi ialah Filipina, Kemboja, Laos, Myanmar, Thailand dan Vietnam.
Secara keseluruhannya, majoriti negara-negara yang mengamalkan sistem demokrasi membenarkan rakyat mereka seawal usia 18 tahun untuk mengundi dan menjadi penentu dasar dan hala tuju negara.
Hanya terdapat beberapa buah negara seperti Kuwait, Lubnan, Oman, Singapura, Samoa Island, Tonga, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Malaysia masih mengamalkan umur mengundi 21 tahun dan jika diteliti, hampir kesemua negara itu sedang dalam proses untuk mencadangkan agar umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun.
Dengan perkembangan politik semasa yang menyaksikan parti-parti politik di negara ini berhadapan dengan pelbagai kemelut dalaman, timbul persoalan mengenai pilihan pengundi muda dan arah sokongan politik mereka.
*Junhairi Alyasa ialah Penolong Pengarang Pengisian Berita Sinar Harian