Bersatu hanya boleh menang 3 kerusi?

KUALA LUMPUR: Kurang tiga minggu lagi penamaan calon pili­han raya negeri (PRN) Sabah 12 September depan, namun parti-parti yang akan bersaing masih belum mencapai kata sepakat dari segi pengagihan bilangan kerusi yang akan ditan­dingi.

Baik Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan lawan mereka, Parti Warisan Sabah (Warisan), ma­sing-masing buntu menyelesaikan kemelut itu.

Difahamkan, Bersatu meminta sekurang-kurangnya 33 kerusi tetapi tidak dipersetujui oleh UMNO kerana tidak yakin parti itu boleh menang banyak.

Daripada 33 kerusi, dikatakan Bersatu yang diketuai Datuk Hajiji Noor boleh menang cuma tiga kerusi.

Seterusnya, baki 40 kerusi yang tinggal untuk UMNO dan parti-parti gabungan yang lain setelah diagihkan, menyebabkan UMNO hanya memperoleh kira-kira 20 kerusi untuk bertanding.

Bagaimanapun Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang ditemui Utusan Malaysia di Parlimen semalam menaruh keyakinan tinggi isu pe­ngagihan kerusi pihaknya dengan Bersatu terutamanya akan selesai hujung bulan ini.

“Ya, masih belum dimete­raikan (agihan kerusi)…tinggal ada beberapa kerusi yang dapat perhatian. Saya bagi jaminan ia akan diputuskan sebelum hujung bulan ini.

“Tujuh puluh tiga kerusi ini banyak, kalau diagih-agihkan takut ‘banyak’ (teragih), jadi, merunsingkan kalau diagihkan.

“Wajar buat suatu perun­dingan iaitu perlu berlandaskan fakta dan data parti-parti yang menuntut kerusi-kerusi ini. Tapi bagi UMNO, kita akan pertahankan kerusi-kerusi yang kita ada…kita ada kekuatan,” kata beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 September hari pengundian PRN Sabah yang menyaksikan pertambahan 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu, menjadikan kesemuanya 73 kerusi jadi rebutan.

Bung Moktar berkata, BN yang terdiri daripada UMNO, MCA dan PBRS akan bergabung dengan Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan STAR berdepan Warisan diketuai Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Menurut beliau, pihaknya sedang mengenal pasti kekuatan parti masing-masing di setiap kawasan untuk memastikan pertandingan satu lawan satu dengan Warisan yang dijangka disertai sekutu utama, DAP dan PKR.

“Kita sedang kenal pasti beberapa kawasan yang straight forward pada parti masing-masing. Pada masa sama kita perlu lihat respons pengundi dan kekuatan jentera masing-masing.

“Kalau semua parti bekerjasama, saya tak nampak ada halangan besar untuk BN dan parti-parti gabungannya menang pada PRN kali ini,” kata­nya.

Mengenai krisis dalaman parti melibatkan dirinya dengan ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang membantah keras pelantikannya sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya BN Sabah, kata Bung Moktar:

“Saya tak ada isu dengan Rahman sebab saya hormati pandangan yang berbeza. Isu yang lebih jelas kami hadapi adalah musuh yang satu iaitu Warisan.”

Mengenai calon yang bakal ditampilkan kali ini, kata beliau, sebanyak 85 peratus adalah calon-calon muda, sekali gus merupakan kelainan yang ditonjolkan UMNO Sabah.

“Ada juga yang berumur tetapi rata-rata calon-calon ini adalah yang bertanding buat kali pertama,” kata beliau.

Dalam pada itu, sumber memberitahu Utusan Malaysia semalam, Warisan turut meng­hadapi masalah kritikal merun­dingkan pengagihan 73 kerusi berikutan ‘puak’ daripada Presi­den Warisan tidak boleh bekerjasama dengan PKR berikutan ‘sentimen’ terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Masalah dalaman ini wujud apabila kedua-dua pimpinan ini diangkat menjadi calon Perdana Menteri (untuk Pakatan Harapan), sekali gus menimbulkan ketidakselesaan di antara mereka untuk bekerjasama.

“Dengan PKR memang ada ada masalah untuk Warisan bergabung, tetapi dengan DAP okey tidak ada masalah,” kata sumber itu lagi.

Bagaimanapun, perkara itu disangkal oleh Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua yang turut dihubungi akhbar ini, sambil menjelaskan pihaknya setakat ini masih belum memuktamadkan lagi pengagihan kerusi.

“Warisan dalam proses untuk memuktamadkan calon-calon antara PKR, DAP, Amanah dan UPKO.

“Datuk Seri Shafie tahu apa yang dibuat, sudah berapa kali pilihan raya dia kendalikan. Kita serahkan semuanya kepada beliau,” katanya.

Mengenai keyakinan Wari­san untuk menang PRN kali ini, Loretto berkata, pihaknya tidak boleh terlalu yakin. Namun beliau percaya sumbangan selama dua tahun yang telah dilakukan Wari­san untuk rakyat di Sabah mampu membuka mata mereka untuk membuat pilihan yang terbaik.

“Kalau bercakap pasal bersiap sedia, dari dulu kita memang sedia, tapi jangan terlalu yakin untuk menang. Walaupun baru dua tahun memerintah, tetap ada perubahan, malah rakyat nak tahu apa lagi Warisan boleh lakukan selepas ini,” kata beliau. – UTUSAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker