Politik dua kali lima, lima kali dua…

MERAK Jalanan bukanlah fanatik kepada mana-mana parti politik di Malaysia. Mana yang betul kita cakap betul dan sokong. Mana yang salah kita kena tegur dan kritik.

Bagaimanapun, dalam politik bukan sedikit pemimpin yang bercakap tidak serupa bikin atau hipokrit kata orang sekarang apatah lagi selepas mendapat kuasa, banyak yang gelap mata.

Mereka rasa bebas berkuasa dan tanpa rasa malu mendedahkan diri dengan amalan kronisme serta mengkayakan keluarga dan kroni.

Tidak perlulah Merak Jalanan menamakan setiap individu berkenaan kerana banyak kes baharu yang masih panas diperkatakan baik berkenaan surat sokongan, perbuatan guna kabel, melanggar peraturan Covid-19 mahupun amalan tender terbuka.

Peliknya dulu ada yang sanggup menubuhkan parti politik baharu, melompat ke sana sini atas alasan parti sebelumnya sarat dengan rasuah, korup dan tidak telus.

Tetapi ironinya, selepas berada di dalam parti baharu, pemimpin-pemimpin tersebut tidak jauh bezanya dengan parti lama.

Menggunakan kuasa yang ada untuk menempatkan anak-anak mereka dalam syarikat konglomerat negara. Itu yang berjaya dibocorkan! Tidak mustahil sebenarnya banyak lagi surat sokongan dan perbuatan guna kabel yang belum terdedah.

Minggu lalu juga, Merak Jalanan memang sangat kecewa dengan perbuatan seorang Menteri yang melanggar peraturan kuarantin diri selepas ke luar negara.

Benar beliau negatif Covid-19 dalam pemeriksaan pertama, benar juga belum ada kluster Covid-19 Turki, tetapi semua jawapan dan alasan tersebut sekadar menegakkan benang yang basah.

Salah tetap salah dan hukuman setimpal wajar dikenakan. Sama jugalah dalam kes tender terbuka yang menjadi senjata utama sebuah parti politik. Nampaknya sejak kelmarin, senjata sudah makan tuan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker