Manfaatkan wang moratorium

BANK Negara Malaysia pada 25 Mac lalu mengumumkan pelaksanaan moratorium bagi semua pembayaran semula pinjaman termasuk gadai janji dan sewa beli serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi tempoh enam bulan bermula 1 April 2020.

Ini bermakna tempoh berkenaan akan berakhir bulan depan dan semua penerima manfaat itu maklum mengenai perkara tersebut.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum Jun lalu memberitahu sejumlah RM28.4 bilion adalah nilai moratorium yang dinikmati rakyat melalui pinjaman yang layak daripada institusi kewangan.

Jadi dalam tempoh itu, ke mana wang kita? Apakah kita benar-benar menggunakan manfaat daripada ‘pelepasan’ yang diberikan itu?

Dalam tempoh enam bulan, mungkin ramai di antara kita yang boleh menarik nafas lega kerana tidak perlu membayar pinjaman.

Jika ada yang bijak mengatur kewangan inilah masanya untuk menyelesaikan baki hutang rakan-rakan atau keluarga yang selama ini tidak mampu dilunaskan kerana komitmen terhadap pinjaman peribadi, pinjaman sewa beli dan lain-lain yang berkaitan. Itulah hikmah di sebalik Covid-19.

Namun bagaimana pula dengan mereka yang mengambil kesempatan menggunakan wang yang ada untuk makan angin selepas kerajaan menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Keseronokan melepaskan keinginan melancong walaupun dalam negara menjadikan kita lupa kerana mengambil peluang itu untuk menggembirakan keluarga. Inilah masanya wang komitmen pembayaran pinjaman sewa beli boleh digunakan.

Ada juga yang menggunakan wang gaji yang selama ini wajib untuk membayar pinjaman rumah dan kereta untuk membeli-belah dan membayar untuk sesuatu yang tidak penting.

Pembelian pula menjadi ‘lebih laju’ kini kerana semuanya hanya di hujung jari melalui atas talian terutama ketika tempoh PKP.

Muflis

Mungkin boleh diingatkan bahawa Laporan Kajian Pantauan Ekonomi Malaysia Disember 2019 mendapati daripada keseluruhan individu muflis di Malaysia adalah berumur antara 25 hingga 44 tahun kerana mempunyai tabiat berbelanja melebihi pendapatan.

Jadi, tepuk dada tanya selera bagaimana cara kita menggunakan wang dalam tempoh moratorium.

Tidak dapat dinafikan masih ada yang memerlukan wang berkenaan tetapi mereka juga sekurang-kurangnya mendapat manfaat dan menggunakannya dengan baik.

Kerajaan dalam tempoh berkenaan turut mengingatkan rakyat supaya sentiasa berbelanja secara berhemah dan bijak bagi mengelakkan masalah kewangan.

Mungkin juga kerana kebimbangan terhadap rakyat yang mengalami masalah kewangan, Tengku Zafrul memaklumkan kerajaan masih lagi berbincang dengan bank tempatan untuk membuat pertolongan secara bersasar.

Antara contoh pertolongan bersasar ialah memanjangkan tempoh pembayaran yang dapat mengurangkan ansuran bulanan selain mengurangkan kadar faedah sehingga peminjam stabil tetapi mereka perlu berbincang dengan bank terbabit.

Bagaimanapun ada di antara kita yang tidak suka membazir dan mengambil kesempatan membeli emas sehingga kedai emas di seluruh negara menjadi tumpuan.

Mereka yang bijak pastinya tahu bahawa pelaburan emas mampu mampu memberikan pulangan serta jaminan berbanding pelaburan konvensional lain.

Jadi tidak hairanlah jika pembelian emas sepanjang tempoh moratorium terutama Mei hingga Julai lalu begitu meningkat.

Pengurus Besar Habib Jewels Sdn Bhd, Mohd Zaruddin Mahmud pada Jun lalu memaklumkan harga emas pukal dijangka mencecah AS$2,000 seaun atau lebih RM300 segram dalam tempoh beberapa bulan akan datang. Kita tunggu dan lihat.

Jadi, boleh dikatakan moratorium turut memberi peluang kepada masyarakat untuk menyimpan dan mengurangkan beban hutang mereka.

Paling penting, fikirkan semula adakah ia benar-benar dimanfaatkan untuk perkara penting, menjadi simpanan atau ‘mencair’

Aswani Omar

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker