Syed Saddiq nak tubuh parti baru pulak dah
Syed Saddiq tak sertai Pejuang, tubuh parti anak muda
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman akhirnya mengesahkan beliau akan menubuhkan parti berasaskan golongan anak muda.
Syed Saddiq mengisyaratkan hal ini selepas beliau menjadi satu-satunya bekas ahli parlimen Bersatu yang menyokong Dr Mahathir Mohamad tetapi tidak bergabung dengan parti baru bekas perdana menteri itu, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Semalam, bekas menteri berusia 27 tahun itu mengesahkan beliau tidak akan menyertai parti yang berteraskan Melayu itu, namun sebaliknya akan menubuhkan parti anak muda berbilang kaum.
“Sekiranya di Thailand mereka dapat menubuhkan parti Future Forward dan di Perancis, mereka dapat menubuhkan En Marche di bawah (Emmanuel) Macron, saya rasa sudah waktunya di Malaysia, untuk memulai gerakan orang muda – teknokrat muda, profesional – ahli politik muda dari pelbagai latar belakang hingga bersatu untuk memastikan suara pemuda akan menguasai di dalam dan di luar parlimen.
“Pada akhirnya, anak muda tidak boleh dipandang ringan lagi. Sudah sampai masanya pada hari ini bahawa politik tidak akan dikuasai oleh orang yang sama – dikawal dan dimonopoli oleh orang tua yang sama,” katanya petik laporan Channel News Asia.
Semalam, bekas ketua Pemuda Bersatu menyertai konvoi motosikal bagi berkempen menyokong calon bebas yang disokong Pejuang pada PRK Slim, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.
Syed Saddiq memilih untuk menempuh jalan yang berbeza setelah secara terbuka menyatakan pada 7 Julai bahawa beliau tidak akan lagi mencabar pemecatannya dari Bersatu.
Bersatu telah memecat Mahathir dan penyokongnya dari parti yang diasaskannya kerana menentang presiden parti, Muhyiddin Yassin, yang membawa Bersatu keluar dari PH lantas membawa keruntuhan pentadbiran berusia 22 bulan itu.
Bersatu pimpinan Muhyiddin kemudian bergabung dengan sekumpulan pemimpin PKR yang berpaling tadah serta MP dari BN, PAS, GPS, PBS dan Star untuk membentuk kerajaan PN yang baru pada bulan Mac. Mkini
You must be logged in to post a comment.