Astaghfirullahalazim, RM6 bilion rundingan terus di bawah kerajaan PH? Dewan kecoh
Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mendakwa bahawa sejumlah 101 projek rundingan terus bernilai RM6.61 bilion diluluskan oleh kementerian tersebut sewaktu pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.
“Semasa pentadbiran sebelum ini sejumlah 101 projek ataupun perolehan yang bernilai RM6.61 bilion telah diluluskan secara rundingan terus oleh kementerian kewangan,” kata Tengku Zafrul ketika penggulungan RUU Langkah-langkah sementara bagi pembiayaan kerajaan (penyakit koronavirus 2019) Covid-19 2020 di Dewan Rakyat hari ini.
Dakwaan itu menimbulkan keributan, dengan beberapa anggota parlimen Perikatan Nasional (PN) menuntut supaya menteri berkenaan untuk meyenaraikan semua projek berkenaan.
Antara mereka termasuk, Abdul Azeez Abdul Rahim (BN – Baling), Noh Omar (BN – Tanjung Karang) dan Ahmad Maslan (BN – Pontian).
“Minta ulang, tak berapa dengar?” sindir Ahmad.
“RM6 bilion? Astaghfirullahalazim..,” kata Abdul Azeez.
“RM6 bilion, 100 lebih projek? Temberang betul PH,” celah Noh.
Amin Ahmad (PH – Kangar) kemudian bangun dan meminta Tengku Zaful memberikan senarai penerima projek tersebut.
Dewan terus gamat dengan suara tidak puas hati dari pembangkang dan diselangi dengan sindiran daripada barisan kerajaan terutamanya dari pemimpin Umno.
Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng (PH – Bagan) kemudian bangun dan berkata bahawa dia terbuka sekiranya Tengku Zafrul memberitahu senarai penerima.
“Tender-tender yang diberikan bukan secara tender terbuka. Kita lihat jumlah yang diberikan secara tender terbuka jauh lebih besar dan ini tertakluk kepada syarat-syarat,” katanya.
“Seperti yang saya sebutkan tadi, apakah projek yang diberikan secara direct award dan ia juga diluluskan oleh kabinet? Sepertimana YB PM pun tau di mana… ,” katanya tanpa diberikan peluang menghabiskan kenyataannya.
Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim (PH – Port Dickson) kemudian bangun mempertahankan Lim dengan bersetuju supaya senarai tersebut diumumkan.
“Saya setuju supaya semua senarai kontrak tanpa tender dihebahkan kepada awam dan semasa PH atau semasa PN,” kata Anwar.
Abdul Azeez kemudian mencelah; “Kita nak tau PH (punya senarai) sebab PH tuduh kami (Umno) pencuri kami semua perompak!
Anwar membalasnya; “Saya bukan menteri. Menteri di depan saya (Tengku Zafrul). Menteri PN di depan saya. Biar dia jawab. Kenapa saya nak kena jawab? Saya tanya minta penjelasan.
Menyedari keadaan dewan semakin tidak terkawal, Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) Mohamed Azmin Ali bangun dan cuba mempertahankan kerajaan PN.
“Ni perkara yang dibangkitkan oleh Port Dickson (Anwar) yang kita menteri-menteri sepatutnya menjawab.
“Kita ada menteri kewangan memberikan butiran bukti yang jelas bahawa di zaman PH pun berlaku perkara yang sama. Jumlahnya RM6bilion dan tidak betul YB Bagan (Lim) kata tahu. Mana ada pembentangan senarai…,” katanya.
Kenyataan Azmin itu mengundang perasaan tidak puas hati terhadap beberapa anggota parlimen pembangkang yang mengingatkannya bahawa dia merupakan salah seorang menteri ketika pentadbiran PH.
Antara yang bangkit adalah Ngeh Koo Ham (PH – Beruas).
Ngeh turut senada dengan barisan pembangkang lain yang menuntut penjelasan senarai tersebut, meskipun dalam keadaan di dewan semakin tidak terkawal.
Selang beberapa minit, Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun memberi amaran kepada semua ahli parlimen yang membazir masa akan diusir dari dewan.
Baca : LGE kantoi, Azmin dedahkan rundingan terus tidak pernah dibawa ke mesyuarat kabinet.
“Saya beri amaran kepasa semua siapa yang buang masa saya akan usir dari dewan. YB Beruas keluar,” katanya selepas memberi tiga kali amaran.
Ngeh diarah keluar dari Dewan Rakyat selama satu hari.
Sementara itu, pemimpin DAP berkenaan selepas dihalau dari Dewan Rakyat mengingatkan speaker supaya tidak mengekang suara ahli parlimen.
Jelasnya, Dewan Rakyat merupakan tempat suara hak rakyat paling mutlak dan perdana menteri serta timbalan wajar menjawab persoalan setiap anggota parlimen.
Baca : Ngeh Koo Ham diarah keluar dewan.
“Saya nak ingatkan Speaker yang Dewan Rakyat bukan dewan kangaroo.
“Dewan Rakyat ini tempat hak suara rakyat paling mutlak, malah perdana menteri dan timbalan perlu jawab kepada kami (anggota parlimen) yang mewakili rakyat,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
ia juga mengingatkan speaker supaya hanya menjalankan tugas mempengerusikan Dewan Rakyat dan tidak mengekang hak anggota parlimen yang mewakili rakyat. Mkini.