Polis buka kertas siasatan terhadap Mohd Khairuddin
KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan sudah membuka kertas siasatan terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali kerana gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah selepas pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.
“Kita telah membuka kertas siasatan terhadap kes berkenaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Sementara itu, Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi memaklumkan sebanyak 27 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung perkara berkenaan.
“Kita sedang melakukan siasatan menyeluruh terhadap Mohd Kharuddin mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.
Semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan Khairuddin sudah dikompaun maksimum RM1,000 selepas gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah di bawah akta berkenaan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, kompaun RM1,000 yang dikenakan terhadap Khairuddin berasingan daripada siasatan sedang dijalankan polis.
‘Kompaun RM1,000 had maksimum dibenarkan KKM’
Mohd Khairuddin dilaporkan melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta342).
Mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342), semua individu yang baru tiba dari luar negara sama ada warga negara atau warga asing perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari sebagai langkah mengekang penularan virus Covid-19.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mendakwa Mohd Khairuddin tidak menjalani kuarantin 14 hari selepas pulang dari Turki.
Mohd Khairuddin yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat Pas dikritik banyak pihak kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan pihak berkuasa dan mengingkari arahan kuarantin bagi mana-mana warga Malaysia yang pulang ke tanah air dari luar negara.
Dalam satu kenyataan berasingan semalam, Mohd Khairuddin pula memberitahu beliau akan memulangkan gaji sebagai menteri bagi Mei hingga Ogos untuk disumbangkan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung Covid-19).