Kerajaan Perak jamin selesai isu banjir

TANJUNG MALIM – Kerajaan Perak memberi jaminan masalah banjir yang berlaku di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Pejabat Tanah dan Daerah serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah menggerakkan usaha bagi menyelesaikan isu tersebut.

Menurutnya, bagi penyelesaian jangka panjang, kerajaan negeri perlu mengadakan satu kolam tadahan dan saliran air besar terus ke sungai.

“Perkara itu memang sudah dirancang awal dan saya pun sudah melihat perkembangannya.

“Isunya masalah banjir di sini telah lama dan kita sudah buat usaha-usaha penambahbaikan tetapi ia belum mencukupi untuk menyelesaikan masalah itu.

“Untuk kerja-kerja penyelesaian jangka masa pendek, tidak lebih RM200,000 telah disalurkan melalui peruntukkan saya sendiri,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim di sini hari ini.

Ahmad Faizal mendengar masalah diutarakan penduduk dalam lawatannya ke Kampung Hendra hari ini.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan masalah banjir kilat telah membelenggu 7,000 penduduk di Kampung Klah Baru, Trolak, Pekan Slim dan Kuala Slim sejak 50 tahun lalu dan ia antara tumpuan isu yang perlu diselesaikan segera di kawasan DUN Slim.

Terdahulu Ahmad Faizal mengadakan lawatan ke Kampung Hendra bagi meninjau masalah pemilikan tanah yang dihadapi kira-kira 40 penduduk di situ.

Katanya, masalah itu memerlukan penelitian kerana membabitkan penukaran status tanah daripada pertanian kepada perumahan.

“Saya harap kesediaan kerajaan negeri menyelesaikan masalah penduduk di sini dapat membuat mereka tidur lena dan bebas daripada belenggu masalah yang berlaku sejak sekian lama,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker