Buktikan jika akaun media sosial anda digodam
SEMUA pemilik akaun media sosial perlu memastikan sedaya upaya akaun media sosial milik mereka tidak disalahgunakan oleh mana – mana pihak yang tidak bertanggungjawab.
Dengan kemunculan pelbagai jenis media sosial pada masa kini, hampir semua manusia di atas muka bumi ini memiliki sekurang-kurangnya satu akaun media sosial untuk mereka berkomunikasi.
Terdapat pelbagai jenis media sosial yang wujud pada masa kini seperti Facebook, Twitter, Instagram, Tumblr, LinkedIn, WhatsApp, Snapchat dan lain-lain.
Kewujudan pelbagai jenis media sosial memudahkan orang ramai berhubung dan berkomunikasi antara satu sama lain dengan mudah dan cepat.
Namun, kemunculan media sosial ini tidak menghalang pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mengambil peluang menyalahgunakannya segala kemudahan komunikasi moden ini. Antara perbuatan jenayah yang boleh dilakukan terhadap media sosial ialah dengan mengodam akaun media sosial milik orang lain.
Proses penggodaman ini dilakukan dengan pelbagai motif seperti untuk mendapatkan maklumat peribadi pemilik asal akaun media sosial yang terlibat serta untuk menerbitkan sebarang kenyataan melalui akaun media sosial yang telah digodam bagi merosakan reputasi pemilik asal pemilik akaun media sosial yang terlibat.
Adalah penting untuk pemilik asal akaun media sosial ini mengambil segala langkah yang perlu bagi melindungi akaun media sosial mereka serta bertindak dengan cepat untuk melindungi diri mereka sendiri daripada menjadi mangsa kegiatan jenayah yang telah dilakukan.
Sekiranya pemilik asal akaun media sosial ini tidak mengambil segala langkah yang perlu bagi melindungi akaun media sosial mereka serta diri mereka sendiri, ia boleh mendedahkan diri mereka kepada pelbagai jenis pertuduhan undang-undang seperti yang termaktub di bawah Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948, dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Fitnah 1957 dan saman sivil.
Antara langkah yang boleh diambil oleh pemilik akaun media sosial berkenaan termasuklah dengan membuat laporan kepada pihak berkuasa yang berkaitan seperti pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Adalah penting untuk setiap pemilik akaun media sosial
dalam negara mengetahui bahawa Seksyen 114A Akta Keterangan 1950 memperuntukkan sebarang jenis penerbitan yang dilakukan melalui akaun media sosial, pemilik asal akaun media sosial berkenaan akan memikul tanggungjawab sepenuhnya terhadap segala kenyataan yang telah diterbitkan.
Melainkan sekiranya mereka berjaya membuktikan kepada pihak mahkamah bahawa mereka tidak melakukan proses penerbitan kenyataan berkenaan. seksyen 114A Akta Keterangan 1950 ini memperuntukkan “Andaian Fakta dalam Penerbitan”.
Seksyen 114A ini merupakan pindaan yang dilakukan terhadap Akta Keterangan 1950. Pindaan tersebut telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada tahun 2012 yang lalu.
Seksyen 114A (1) Akta Keterangan 1950 ini jelas menyatakan bahawa “Seseorang yang nama, fotograf atau nama samarannya muncul pada mana- mana penerbitan yang menggambarkan dirinya sebagai tuan punya, hos, pentadbir, editor, atau sub-editor, atau sesiapa yang melalui apa-apa cara memudahkan untuk diterbitkan atau diterbitkan semula penerbitan itu adalah dianggap sebagai telah menerbitkan atau menerbitkan semula kandungan penerbitan itu melainkan jika dibuktikan sebaliknya”.
Seksyen 114A (2) Akta yang sama menyatakan juga bahawa “Seseorang yang didaftarkan dengan sesuatu pemberi perkhidmatan rangkaian sebagai seorang pelanggan suatu perkhidmatan rangkaian pada mana apa-apa penerbitan berasal darinya adalah dianggap sebagai orang yang telah menerbitkan atau menerbitkan semula penerbitan itu melainkan jika dibuktikan sebaliknya”.
Seksyen 114A (3) Akta yang sama juga memperuntukkan bahawa “Sesiapa yang menyimpan dalam jagaannya atau kawalannya mana- mana komputer pada mana apa-apa penerbitan berasal darinya dianggap sebagai telah
menerbitkan atau menerbitkan semula kandungan penerbitan itu melainkan jika dibuktikan sebaliknya”.
Seksyen 114A Akta Keterangan 1950 ini adalah satu bentuk
proses pembuktian yang diwujudkan bagi mendepani perkembangan dunia siber dan khususnya media baru seperti Facebook, blog, tweet dan lain-lain lagi.
Sekiranya pemilik asal media sosial didakwa diatas kesalahan menerbitkan sesuatu kenyataan yang salah di dalam akaun media sosialnya dan dia menyatakan bahawa dia tidak menerbitkan kenyataan berkenaan, dia harus membuktikan kepada pihak mahkamah bahawa kenyataan salah yang telah diterbitkan berkenaan bukan dibuat oleh mereka atau akaun media sosial mereka telah digodam oleh pihak ketiga ataupun akaun media sosial yang terlibat bukan milik mereka.
Seksyen 114A Akta Keterangan 1950 meletakkan tanggungjawab berat kepada pihak pendakwa raya untuk membuat siasatan menyeluruh sebelum mengemukakan sebarang pertuduhan.
Pendakwaan tidak boleh dibuat terhadap pemilik asal akaun
media sosial yang terlibat semata-mata kerana nama seseorang itu dikaitkan dengan penyiaran mana-mana kenyataan melalui media sosial mereka, kerana masih ada banyak yang perlu dibuktikan terlebih dahulu iaitu pertamanya kenyataan yang diterbitkan itu mesti dibuktikan sebagai satu kesalahan di bawah mana-mana peruntukan undang-undang yang ada dalam negara kita dan keduanya siasatan perlu membuktikan bahawa orang itu sendiri yang menulis kenyataan berkenaan atau menyiarkan kenyataan berkenaan melalui media sosial.- MalaysiaGazette
You must be logged in to post a comment.