Perlu bijak tarik sokongan pengundi muda
KOTA KINABALU – Parti politik bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah perlu bijak menarik sokongan pengundi terutama golongan muda yang mungkin berasa bosan dengan kerenah politik negeri yang terpaksa kembali mengundi dalam tempoh tidak sampai tiga tahun.
Pensyarah Kanan (Kerajaan dan Politik) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Tony Paridi Bagang berkata, pengundi muda akan menjangkakan undi mereka bagaikan ‘komoditi’ yang didagang bagi meraih kelebihan politik oleh pemimpin yang mereka pilih pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Beliau juga tidak menolak senario tindakan pengundi muda enggan keluar mengundi pada PRN Sabah kali ini, yang mana ia dikhuatiri bakal mendatangkan kesan terhadap sasaran 70 peratus yang diletakkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada pilihan raya itu.
“Justeru, ia merupakan cabaran utama kepada parti yang bertanding dan SPR untuk meyakinkan pengundi keluar mengundi juga pemimpin bertanding meyakinkan pengundi,” katanya di sini semalam.
SPR menetapkan PRN Sabah diadakan pada 26 September ini dengan hari pencalonan jatuh pada 12 September dan pengundian awal pada 22 September membabitkan kira-kira 1.12 juta pengundi.
Bagang berkata, kerisauan rakyat terhadap ancaman pandemik koronavirus (Covid-19) turut memberi kesan langsung kepada perjalanan pilihan raya negeri itu terutama terhadap jumlah mereka yang keluar mengundi.
“Hal itu juga sudah pasti menguji kematangan dan kebertanggungjawaban rakyat serta para ahli politik untuk mengamalkan penjarakkan fizikal dan mengikut SOP (prosedur operasi standard) ditetapkan,” katanya.
Menurut beliau, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang memberi laluan kepada PRN Sabah adalah butang reset kepada krisis politik negeri ini, bagaimanapun kesannya terhadap pengundi perlu diperhati dengan lebih dekat. – Bernama