‘Jangan silap pilih semut, anai-anai‘

TANJUNG MALIM – “Ambil pengajaran dalam al-Quran, kenalilah siapa semut, siapa anai-anai dalam masyarakat kita,” kata pendakwah terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias.

Menurutnya, semut yang sering hurung gula merupakan makhluk yang dicipta ALLAH SWT untuk menjaga rumah daripada diserang anai-anai.

Menurutnya, analogi itu boleh digunakan masyarakat supaya bijak memilih pemimpin mana yang baik dan memudaratkan.

“Kita ada al-Quran sepatutnya kita gunakan sebagai ilmu kita, perbandingan kita dan semua ada dalam itu (kitab).



“Melihat pada semut dan anai-anai, kalau banyak membaca dan mengkajinya, dia akan faham. Jadi siapa semut siapa anai-anai?” katanya ketika ditemui pada Program Ceramah Perdana sempena Maal Hijrah di Dewan Semai Bakti, Felda Trolak Selatan di sini semalam.

Mohd Kazim berkata, penganjuran ceramah agama itu diharap dapat meredakan bahang kempen yang rancak berlangsung di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim itu.

“Kebetulan ceramah ini di waktu PRK dan mungkin di sana ada ceramah politik, di sini ada kempen dan sebagainya, kita nak redakan kepanasan kempen dengan ceramah agama.

“Ini perkara baik kerana boleh sama-sama bermuhasabah dan kita mahu cari yang terbaik bukannya permusuhan,” katanya.



Beliau turut mengingatkan masyarakat untuk sentiasa bersatu meskipun berbeza politik.

“Jangan lupa kita adalah bersaudara. Ceramah agama ini melibatkan kehadiran semua orang tidak kira siapa pun kerana semua nak dengar yang terbaik mengenai agama kita,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker