‘Rujukan merbahaya’ jika keputusan mahkamah Sabah tidak dibatalkan
Presiden Parti Maju Sabah, Yong Teck Lee memberi amaran keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan memohon mahkamah semak persetujuan Yang di-Pertua Juhar Mahiruddin membubarkan Dewan Undangan Negeri akan menjadi “rujukan yang merbahaya”.
Beliau berkata menolak permohonan itu atas alasan perkara itu tidak boleh diputuskan di mahkamah (no justiciability) bermaksud tindakan YDP tidak boleh dicabar.
“Bagaimana jika Tuan Yang Terutama memutuskan untuk memecat Menteri tanpa nasihat ketua menteri? Bagaimana jika dia menganugerahkan pangkat Datuk kepada seorang banduan terkenal?
“Bagaimana jika dia berkeras untuk mengampunkan pesalah yang tidak sejajar dengan nasihat peguam negara?” tambahnya, mengatakan sudah tentu tindakan seperti itu boleh diputuskan di mahkamah.
“Bagaimana jika TYT membubarkan DUN tanpa makluman oleh ketua menteri? Sabah akan diperintah TYT seumur hidup yang tindakannya tidak dapat dicabar, biarpun di mahkamah,” katanya dalam kenyataan.
Yong tiada masalah sekiranya pembubaran DUN didapati sah, tetapi apa yang membimbangkan sekiranya tiada tindakan YDP dibenarkan dicabar sama sekali.
Beliau mengingatkan had 2 penggal seorang YDP dimansuhkan pada Disember 2018, bermakna seorang YDP boleh memerintah selama hayatnya.
Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim hari ini menolak permohonan 33 Adun Sabah yang memohon persetujuan Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin membubarkan Dewan Undangan Negeri disemak semula.
Kumpulan itu, diketuai bekas ketua menteri Musa Aman, juga memohon injunksi ke atas pembubaran DUN dan mempersoalkan permohonan bertulis Ketua Menteri Shafie Apdal kepada Juhar memohon DUN dibubarkan pada 29 Julai. FMT
You must be logged in to post a comment.