Penyanyi Jimmy Palikat akan tanding di Tambunan pada PRN Sabah
Penyanyi kelahiran Sabah yang popular dengan lagu “Anak Kampung”, Jimmy Palikat akan bertanding di kerusi Tambunan pada Pilihan Raya Negeri 26 Sept ini.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan keluarga dan mendapat restu bapanya.
Beliau bagaimanapun menafikan mendapat tajaan mana-mana pihak untuk bertanding pada PRN Sabah.
“Tidak benar, keputusan ini saya lakukan atas pertimbangan sendiri dan selepas berbincang dengan keluarga. Hasrat ini sebenarnya sudah timbul sejak 2 PRU lalu dan saya memutuskan untuk menjadikannya kenyataan pada PRN ini, katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Anak jati Tambunan itu mendedahkan beberapa parti politik “melamarnya”, tetapi beliau akan mempertimbangkan dengan berhati-hati.
“Saya tidak mahu terburu-buru kerana saya perlu mengkaji dulu apa perjuangan mereka, apa kekuatan mereka.
“Buat masa ini, saya masih teruskan niat untuk bertanding sebagai calon bebas, tapi kita tengok nanti macam mana kerana apa yang lebih penting adalah perjuangan demi rakyat di Tambunan.”
Beliau dijangka berdepan cabaran sukar di Tambunan yang disandang Jeffrey Kitingan yang juga presiden STAR.
“Saya tahu ia bukan tugas mudah, tetapi tidak salah untuk saya mencuba kerana siapa yang akan menang nanti akan ditentukan oleh rakyat. Saya harap mampu mendapat kepercayaan daripada mereka (rakyat).” FMT