Kenapa Shafie terus bisu isu tuntutan Filipina terhadap Sabah
Bekas ketua menteri Sabah Yong Teck Lee mempersoalkan tindakan Shafie Apdal yang terus membisu mengenai tuntutan Filipina dan keluarga Kiram terhadap Sabah.
Yong yang juga presiden SAPP berkata, tindakan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat mengenai kegagalan kerajaan Sabah untuk menentang propaganda dari negara jiran itu.
“Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, pegawai dan media pemerintah Filipina secara agresif membangkitkan isu tuntutan Sabah.
“Tetapi tidak ada sepotong ayat pun dari ketua menteri Sabah (menentang kenyataan itu). Kebisuan pemerintah Sabah terlihat jelas. Apa yang ada untuk disembunyikan?,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Menteri Luar Filipina, Teodore Locsin Jr yang membidas Kedutaan Amerika Syarikat yang mengatakan Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia.
Sejurus kenyataan Locsin, Menteri Luar Hishammuddin Hussein, bekas Menteri Luar Anifah Aman dan bekas ketua menteri Musa Aman secara jelas membantah tuntutan Filipina, namun Shafie sebagai ketua negeri ketika ini kekal berdiam diri mengenai isu berkenaan.
“Bagaimana mungkin pemerintah Sabah buta dan pekak terhadap isu penting yang telah dilaporkan di media antarabangsa?” katanya.
Semalam, Shafie menolak dakwaan beliau membisu dalam isu tuntutan di Sabah itu, dan mempersoalkan apa dilakukan Anifah ketika dia menjadi menteri luar di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Kami telah menyatakan dengan jelas bahawa Sabah bukan milik Filipina. Kami menentang tuntutan tersebut, tanya saja Zaleha,” kata Shafie merujuk kepada bekas peguam negara Sabah, Zaleha Rose Pandin.
Zaleha dan bekas Peguam Negara di Putrajaya sebelumnya membawa kes itu ke pengadilan di Sepanyol untuk mencabar tuntutan dibuat keturunan kesultanan Sulu – keluarga Kiram – terhadap negeri ini.
Shafie juga membidas Anifah kerana tidak menyatakan pendirian Sabah kepada rakannya dari Filipina ketika dia menjadi menteri luar.
Yong berkata, pada Jun beliau berulang kali mencabar Shafie dan bekas menteri undang-undang persekutuan, Liew Vui Keong, untuk menjawab beberapa soalan mengenai tuntutan keluarga Kiram yang diajukan di Mahkamah Timbang Tara Madrid (di Sepanyol) pada 2019.
“Kes mahkamah seperti ini di negara asing menelan kos sekurang-kurangnya RM2 juta. Keluarga Kiram diketahui tidak mempunyai wang. Oleh itu, dari mana mereka mendapat wang untuk membiayai kes mahkamah mereka di Sepanyol?
“Lebih menjadi perhatian mengapa kerajaan Sabah sekarang gagal mempertahankan dan secara terbuka membantah tuntutan Filipina atau Sulu terhadap Sabah?
“Sebenarnya, Warisan memberi alasan mudah yang tuntutan Filipina atau Sulu ke atas Sabah adalah urusan persekutuan. Ini adalah sikap yang tidak bertanggungjawab, mengabaikan tanggungjawab mereka untuk melindungi Sabah,” katanya. FMT
You must be logged in to post a comment.