Bung Moktar pejuang setia, kata Ahmad Maslan

SHAH ALAM – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mengetuai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebagai seorang yang setia berjuang.

Sehubungan itu, beliau berharap kes mahkamah yang melibatkan Bung Moktar tidak perlu dijadikan isu kerana terdapat pemimpin politik dari pembangkang yang pernah masuk penjara namun masih tetap mengetuai partinya.

Ahmad yang juga merupakan Setiausaha Agung UMNO itu turut mengambil contoh Setiausaha DAP, Lim Guan Eng yang masih Setiausaha Agung DAP walaupun kini berhadapan tuduhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“YB DS Bung Moktar Radin @MyKinabatangan sebagai Pengerusi #BN & #UMNO #Sabah mengetuai jentera #PRNSabah, seorang yang setia berjuang

“Kes mahkamah beliau tak perlu dijadikan isu. @anwaribrahim yang dah masuk penjara masih ketua parti #PKR. @guanenglim dituduh #SPRM pun masih SU Agung #DAP,” ciapnya di Twitter hari ini.

Ahmad berkata demikian dipercayai berkaitan kritikan dilemparkan terhadap Bung Moktar berhubung pelantikan beliau sebagai ketua PRN Sabah malah ada pihak dari parti sama yang mahu menyingkirkan Bung Moktar dari tugas itu.

Malam tadi, Ahli MKT, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan pada satu sidang media tergempar bersama beberapa ketua UMNO Bahagian dari Sabah menyifatkan keputusan meletakkan Bung Moktar mengetuai jentera bagi menghadapi PRN Sabah, sebagai satu tindakan ‘bunuh diri’.

Sehubungan itu, bekas Ahli Parlimen Kota Belud itu menggesa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengkaji semula keputusan melantik Bung Moktar yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah.

Beliau mendakwa, Bung Moktar sedang dibelenggu dengan perbicaraan kes mahkamah yang mungkin menyebabkan UMNO Sabah berada pada kedudukan tidak stabil untuk memenangi hati rakyat.

SH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker