PRN Sabah dijangka sengit
SHAH ALAM – Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijadualkan berlangsung pada 26 September depan dijangka sengit melibatkan persaingan parti kerajaan iaitu Parti Warisan Sabah (Warisan) dan pembangkang, Barisan Nasional (BN).
Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sabah, Kampus Kota Kinabalu, Dr Asri Salleh berkata, ia bagaimanapun banyak bergantung kepada persoalan sama ada blok pembangkang dapat mengadakan kerjasama strategik dalam kalangan mereka seperti yang dilihat semasa Piliha Raya Kecil (PRK) Kimanis lalu.
Menurutnya, perkara itu penting kerana ia akan merungkai persoalan tentang pengagihan kerusi, susunan, fokus serta strategi jentera pilihan raya masing-masing.
“Jika blok pembangkang tetap berpecah, maka saya fikir blok Warisan akan mempunyai kelebihan yang besar dalam PRN kali ini.
“Selain itu terdapat beberapa isu termasuk isu lompat parti yang perlu diberi perhatian kerana dilihat mampu mempengaruhi mood pengundi di Sabah,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Mengulas lanjut, Asri berkata, isu lompat parti adalah antara yang paling banyak ditimbulkan dan diperdebatkan ketika ini, selain isu-isu seperti manifesto, personaliti calon, prestasi kerajaan negeri sekarang dan potensi parti yang bertanding.
Katanya, apa yang dilihat dalam isu ini (lompat parti) pengundi muda dan baharu dilihat seolah-olah mahu memberi ‘pengajaran’ kepada bakal-bakal calon dan parti yang bertanding sama ada melalui tindakan boikot atau undi protes.
“Harus diingat, lebih 40 peratus pengundi kali ini ialah pengundi muda atau belia. Walau bagaimanapun, ada juga yang mahu mengambil peluang PRN kali ini untuk ‘membetulkan’ tindakan mereka pada PRU lalu dan memberi peluang kepada parti politik baharu untuk membentuk kerajaan negeri.
“Namun begitu, selain isu lompat parti, faktor lain seperti personaliti calon, reputasi parti dan risiko jangkitan Covid-19 juga turut sama berperanan dalam mempengaruhi mood pengundi,” katanya.
Dalam pada itu, Asri berpendapat parti Warisan akan mengetengahkan pelbagai isu dan manifesto dalam mempertahankan prestasi mereka sepanjang dua tahun lepas, di samping memperkenalkan beberapa inisiatif penambahbaikan.
“Jadi dengan mengambil kira perkara itu maka adalah logik untuk parti pembangkang tampil dengan inisiatif-inisiatif atau dasar-dasar yang baharu dan berbeza daripada Warisan.
“Secara keseluruhannya, kita akan lihat isu-isu seperti tadbir urus, MA63, pemilikan tanah, usaha pemulihan ekonomi pasca-Covid-19, pekerjaan dan PATI akan mempelopori manifesto parti-parti yang bertanding,” katanya. SH