Mujahid saman Harakah berhubung isu Nur Sajat
Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof telah memfailkan saman fitnah terhadap portal rasmi PAS, Harakah susulan laporan berita berkaitan usahawan kosmetik Nur Sajat.
Peguamnya dari Tetuan Akram Hizri Azad & Azmir memfailkan writ di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Luimpur, dua hari lalu.
Mereka menamakan wartawan Harakah, Aziz Muda, ketua pengarangnya, Wan Nordin Wan Yaacob, pengendali portal dalam talian itu, Galeri Media Serbanika Sdn Bhd, dan pencetak akhbar itu Percetakan Turbo (M) Sdn Bhd, masing-masing sebagai defendan pertama, kedua, ketiga dan keempat.
Mengikut pernyataan tuntutan yang dilihat Malaysiakini petang ini, Mujahid menyaman berhubung laporan yang dimuat naik dalam portal Harakahdaily.net pada 7 Februari serta laporan yang diterbitkan dalam edisi cetak pada 10 hingga 13 Feb lalu.
Pada Februari lalu, Mujahid pada ketika itu masih memegang portfolio menteri di jabatan perdana menteri bagi hal ehwal agama.
Pada 4 Februari lalu, adalah dilaporkan kontroversi tercetus gara-gara usahawan kosmetik berkenaan memuat naik gambar di Instagram ketika memakai pakaian wanita ketika berada di Makkah. NGO Justice for Sisters turut meluahkan rasa bimbang berhubung gesaan pihak berkuasa yang mahu Nur Sajat disiasat berkenaan perkara terbabit.
Laporan Harakah yang menjadi sasaran saman itu difahamkan adalah berkaitan dengan tindakan pihak berkuasa agama berhubung isu tersebut.
Mujahid yang juga adalah naib presiden Amanah turut mendakwa bahawa laporan tersebut berniat jahat untuk menjatuhkan maruah, kredibiliti dan reputasinya yang ketika itu adalah menteri agama.
Dakwanya, disebalik notis tuntutan pada 20 Feb lalu, defendan gagal dan/atau enggan dan/atau cuai untuk mematuhi notis tersebut berkenaan laporan itu.
Sebagai alternatif, Mujahid memohon perintah mahkamah supaya defendan membuat permohonan maaf secara terbuka, yang akan dimuat naik dan disiarkan di akhbar tempatan yang berbahasa Melayu dalam tempoh 14 hari.
Mujahid juga menuntut defendan menarik balik laporan yang diterbitkan itu sama ada di portal dalam talian serta versi cetak Harakah dan tidak mengulangi kenyataan tersebut.
Mujahid juga meminta defendan mengemukakan surat aku janji untuk tidak akan menulis dan/atau melaporkan kenyataan-kenyataan dan/atau perkataan-perkataan yang berunsur fitnah terhadap dirinya.
Secara alternatif, plaintif menuntut perintah mahkamah untuk mentaksirkan, kerugian am, dan teladan yang perlu dibayar plaintif dalam masa 14 belas hari daripada tarikh penghakiman.
Mujahid juga menggesa satu injuksi bagi menghalang defendan daripada terus mengulas, memberi komen, mengulangi dan/atau menerbitkan kenyataan yang berunsur fitnah terhadap dirinya.
Dia turut menuntut faedah lima peratus ke atas ganti rugi dari tarikh writ saman hingga penyelesaian penuh, termasuk kos lain dari mahkamah.
Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, peguam Mujahid, Noorazmin Zakarian mengesahkan saman berkenaan telah difailkan pada 12 Ogos itu.
Peguam tersebut turut mengesahkan bahawa notis tunjuk sebab juga telah diserahkan kepada keempat-empat defendan semalam.
“Notis (tunjuk) sebab telah diberikan kepada peguam bagi defendan pertama, kedua serta defendan ketiga,” katanya dengan menambah surat tunjuk sebab juga telah diserahkan kepada defendan keempat secara langsung.
Malaysiakini sedang cuba menghubungi pihak peguam defendan berkenaan tindakan undang-undang tersebut. Mkini