Hisap vape di Parlimen, Hisham bayar kompaun RM250

PARLIMEN | Menteri Luar Hishammuddin Hussein berkata dia telah memohon maaf kepada Dewan Rakyat dan membayar kompaun akibat tindakannya menghisap vape ketika sidang Parlimen, minggu lalu.

“Sebagaimana yang saya maklumkan sebelum ini, perbuatan salah tetap perbuatan salah dan saya sudah mengakui bahawa saya salah dan telah minta maaf.

“Dan pasal denda, saya pun sudah dikompaun dan bayar jumlah yang ditentukan. Jadi kalau Kluang masih nak bermain politik di Dewan ini, banyak lagi kerja (perkara) yang perlu kita bincangkan di sini,” katanya hari ini.

Difahamkan dia dikenakan kompaun RM250 seperti yang ditetapkan untuk kesalahan itu.



Hishammuddin berkata demikian ketika menjawab isu tersebut yang dibangkitkan Wong Shu Qi (PH-Kluang) di Dewan Rakyat hari ini.

Wong membangkitkannya ketika mencelah penggulungan perbahasan titah diraja oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Mohd Redzuan Md Yusof.

Pada 6 Ogos lalu, Hishammuddin mengaku salah dan memohon maaf kerana menghisap vape semasa persidangan di Dewan Rakyat selepas videonya berbuat demikian tular di media sosial.

“Maaf, saya tidak sedar. Ia adalah tabiat baru.



“Saya minta maaf kepada Dewan dan berjanji tidak akan mengulangi lagi,” katanya membalas ciapan seorang pengguna Twitter yang mengongsikan video tersebut.

Larangan merokok di kawasan larangan dan semua premis makanan yang diluluskan ketika pentadbiran PH mula berkuatkuasa Januari lalu, dengan kompaun RM250.

Mereka yang gagal membayarnya boleh didakwa di mahkamah di mana mereka boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau dua tahun penjara.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker