Timbalan Ketua Bahagian, 22 AJK Bersatu Langkawi umum keluar parti
LANGKAWI – Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Langkawi, Shukor Bahari mengumumkan peletakan jawatannya dan keluar dari parti tersebut berkuat kuasa serta-merta.
Turut sama meletakkan jawatan dan keluar parti ialah 22 daripada 25 ahli jawatankuasa (AJK) Bersatu Bahagian Langkawi.
Shukor berkata, susulan pengumuman itu, sebanyak 16 cawangan Bersatu Bahagian Langkawi yang melibatkan lebih 4,900 ahli turut terbubar secara automatik.
“Kami ahli Bersatu Langkawi atas dasar dan sejajar dengan matlamat perjuangan untuk menghapuskan salah guna kuasa, rasuah (kleptokrasi) dan demi membina kemakmuran Malaysia yang mengutamakan agama, bangsa dan negara adalah dengan ini kami bersama sepakat untuk meletakkan segala jawatan di dalam parti Bersatu.
“Kami dengan rela hati tanpa ada paksaan mengisytiharkan keluar dari parti berkuat kuasa serta-merta,” kata dalam sidang akhbar khas pembubaran Bersatu Bahagian Langkawi di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi di sini hari ini.
Turut hadir pada sidang akhbar bagi mengumumkan peletakan jawatan dan keluar parti itu ialah Puteri Fataharyati Harun (setiausaha), Zamre Yahya (ketua penerangan) dan Azlina Mansor (ketua Srikandi). – Bernama
Sedap dengar alasan AJK Bersatu Langkawi isytihar keluar parti, cuma depa tak sebut berapa Atok bagi duit poket untuk ramaikan Parti baru Atok APANAMA. Maklumlah kalau kat Langkawi pun parti APANAMA takde ahli dan cawangan, kan ke pelik.