Giliran orang kuat Syed Saddiq, penyokong setia Dr M keluar PPBM

Selepas beberapa ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PPBM umum keluar parti semalam, hari ini giliran orang kuat bekas ketua pemuda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengambil keputusan sama.

Ahli MPT Ulya Aqamah Husamudin yang juga penyokong setia Dr Mahathir Mohamad mengumumkan keputusan keluar PPBM sekali gus melepaskan semua jawatan dalam parti.

Ulya yang juga ketua penerangan pemuda PPBM turut melepaskan semua jawatan di peringkat nasional dan di bahagian Pokok Sena.

“Saya Ulya Aqamah Husamudin, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia no keahlian 00000060 dengan ini mengisytiharkan keluar daripada parti.



“Bersama dengan kenyataan ini, maka saya secara hormatnya melepaskan semua jawatan saya di peringkat nasional dan bahagian Pokok Sena,” katanya.

Ulya turut meminta PPBM menilai semula asas perjuangan asal dan kembali kepada objektif penubuhan parti yang didakwanya sudah lari daripada perjuangan asal.

Awal pagi tadi seorang lagi exco pemuda PPBM Abu Hafiz Salleh Hudin turut mengumumkan keluar parti bagi menyokong gerakan baru diketuai Mahathir.

Semalam, ahli MPT PPBM A Kadir Jasin, Tariq Ismail Mustafa dan Abu Bakar Yahya keluar parti.



Turut mengambil langkah sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeram, Mohd Shaid Rosli dan beberapa bahagian PPBM menyatakan sokongan kepada Mahathir.

Mahathir mengumumkan penubuhan parti baru selepas keahlian PPBM diterajuinya sebelum ini terbatal.

Beliau bersama beberapa lagi yang terbatal keahlian mereka menubuhkan parti baru yang belum dinamakan dan menunggu proses Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Mahathir yang juga bekas pengerusi PPBM berkata, asas penubuhan parti baru itu mengambil “DNA” asal PPBM sebelum ini, yang lari daripada perjuangan diterajui Muhyiddin Yassin.



Katanya, parti baru itu tidak akan terikat dengan parti campuran lain termasuk tidak bersama Paka tan Harapan atau Perikatan Nasional. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker