Parti baru Dr M: Melayu makin berpecah, kata Takiyuddin

Share

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menjangkakan orang Melayu akan terus berpecah jika Dr Mahathir kekal dengan keputusan untuk menubuhkan parti politik berteraskan Melayu dan pribumi.

“Saya tak pasti apa tujuan Tun (Dr Mahathir) untuk menubuhkan satu lagi parti (berteraskan) orang Melayu.

“Pengalaman saya bersama Tun beliau seringkali menimbulkan isu perpecahan orang Melayu. Beliau ada pengikut dan Melayu akan semakin berpecah,” katanya, lapor Bernama.


Bagaimanapun, menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu juga dipetik Bernama berkata mana-mana pihak, termasuk Mahathir, tidak mempunyai masalah untuk menubuhkan parti politik.

Ini jelasnya, asalkan memenuhi syarat yang ditetapkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

“Di Malaysia, parti politik yang ditubuhkan mencecah puluhan. Ada yang aktif dan ada yang tak aktif. Ada yang ‘beli’ parti yang ditubuhkan (namun tidak aktif) sekali dengan perlembagaan dan kemudian tukar nama.


“Itu hak individu di bawah Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan untuk berpersatuan,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan parti baru yang “akan berasas kepada pejuangan untuk orang Melayu dan peribumi” sebagaimana Bersatu yang diasaskannya sebelum ini tetapi tidak terikat menyokong PN atau PH.

Menjelaskan asas perjuangan parti politik baru yang belum dinamakan itu, Dr Mahathir berkata matlamatnya masih bertujuan “menghapus rasuah dan kleptokrasi.”


Tegas beliau lagi, perjuangan wadah politik baru itu “berasas semangat, bukan duit.”

Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam maklum balasnya semalam mengenai langkah politik terbaru bekas perdana menteri menubuhkan parti baru itu, berkata, “itu terpulang Tun Mahathir.”

“Malaysia sebuah negara demokrasi, tiada siapa boleh halang untuk tubuh parti.” Mkini

Leave a Reply