Guan Eng mengaku tak bersalah, ikat jamin RM 1 Juta

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng didakwa dengan satu pertuduhan meminta suapan membabitkan kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Lim bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut kertas pertuduhan, Lim ketika menjadi ketua menteri Pulau Pinang didakwa meminta suapan sebanyak 10 peratus daripada jumlah keuntungan yang bakal diperoleh daripada Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, pengarah kanan eksekutif Consortium Zenith Construction Sdn Bhd yang mendapat projek itu.

Permintaan itu didakwa dibuat Lim sebagai upah bagi membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.



Dia dituduh membuat kesalahan itu di berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, pada Mac 2011.

Pertuduhan ke atas Lim, yang juga anggota parlimen Bagan, dibuat di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun atau denda RM10,000 atau lima kali ganda jumlah suapan, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Lim diwakili peguam Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh dan RSN Rayer manakala SPRM diwakili pasukan pendakwaan Wan Shaharuddin Wan Ladin, Ahmad Akram Gharib, Nik Haslini Hashim dan Farah Yasmin Salleh.



Ketika penghujahan untuk ikat jamin, DPP Wan Shaharuddin memohon ikat jamin ditetapkan sebanyak RM2 juta ke atas Lim, memandangkan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika kesalahan itu didakwa dilakukan.

Mengakui kadar jaminan biasanya ditentukan berdasarkan jumlah suapan, dia meminta hakim untuk “berani menjadi berbeza” dalam kes ini.

“Saya minta puan dare to be different. Cuba puan buat sejarah hari ini, tengok kedudukan (Lim),” katanya.

Bagaimanapun, Gobind menjelaskan bayaran jaminan hanyalah untuk memastikan kehadiran tertuduh ke perbicaraan dan prinsip itu masih “mantap” dan diterima di semua peringkat mahkamah seluruh negara.



Malah Lim memberi kerjasama penuh kepada SPRM sepanjang siasatan termasuk ketika diminta hadir untuk soal siasat pada pukul 10 malam semalam, katanya yang meminta ikat jamin sebanyak RM500,000 dengan seorang penjamin.

Azura kemudian menetapkan ikat jamin berjumlah RM1 juta dengan dua orang penjamin, manakala pasport antarabangsa dan pasport diplomatik Lim perlu diserahkan kepada mahkamah.

Lim diminta menjelaskan sekurang-kurangnya RM500,000 pada hari ini manakala bakinya perlu dibayar selewatan-lewatnya Isnin.

Hakim menetapkan 9 September untuk sebutan semula kes. MK



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker