Donald Trump haramkan TikTok di AS

Washington: Presiden Donald Trump mahu mengharamkan aplikasi TikTok dari China di Amerika Syarikat (AS) dengan tindakan secepat Sabtu, sama ada menerusi perintah eksekutif atau kuasa lain.

“Sejauh mana kita bimbangkan mengenai TikTok, kami mengharamkannya dari Amerika Syarikat,” katanya kepada wartawan ketika berada dalam Air Force One pada Jumaat.

Media menjangkakan Trump akan mengarahkan operasi aplikasi itu di AS supaya dilupuskan daripada firma induk, ByteDance dari China namun, sebaliknya berlaku.

Tindakan Trump menyusul selepas penilaian Jawatankuasa Pelaburan Asing (CFIUS) di Amerika Syarikat, yang menyiasat sebarang kesepakatan yang mempengaruhi keselamatan negara itu.

Pembuat dasar dan pihak berkuasa AS, akhir-akhir ini membangkitkan kebimbangan bahawa platform video popular aplikasi itu digunakan Beijing untuk tujuan jahat tetapi dinafikan pihak syarikat yang menolak sebarang kaitan dengan kerajaan China.

TikTok sangat popular dalam kalangan penonton muda yang membuat dan menonton video pendek, yang ketika ini mempunyai bilion pengguna seluruh negara.

Dalam pada itu, pengendali aplikasi itu enggan mengulas lanjut sebaliknya berkata yakin dengan kejayaan berterusan TikTok.

“Ratusan juta orang melayari TikTok untuk hiburan dan hubungan, termasuk komuniti pencipta dan artis kami yang mencari rezeki menggunakan platform ini.”

Syarikat itu pada minggu ini menjanjikan tahap ketelusan yang tinggi, termasuk membenarkan tinjauan algoritma untuk jaminan pengguna dan pengawal selia.

Ketua Pegawai Eksekutif TikTok, Kevin Mayer dilapor berkata, mereka tidak berpolitik, bahkan tidak membenarkan iklan berunsur politik atau menyimpan apa-apa agenda.

“Objektif utama kami adalah kekal jadi platform bersemangat, dinamik untuk semua orang berhibur. Sebaliknya TikTok menjadi sasaran terbaharu, tetapi kami bukannya musuh,” katanya.

Ketua Program Polisi Teknologi di Pusat Strategik dan Kajian Antarabangsa, James Lewis berkata, pihak berkuasa AS di bawah CFIUS mempunyai kuasa untuk melepaskan pemerolehan yang diluluskan sebelum ini dan ia tindakan sama pernah dilakukan AS pada 2019 terhadap aplikasi temujanji Grindr selepas ia dibeli syarikat China.

AFP

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker