‘Derita’ dulu sebelum senang

MEREKA bukan datang daripada keluarga senang, malah ada antaranya terpaksa berkorban demi mengejar cita-cita sehingga berjaya menjadi tonggak utama kepada pasukan bola sepak negeri dan negara.

Sebut saja pekerjaan yang boleh mendatangkan wang saku, beberapa pemain bola sepak yang kini bergelar bintang pernah melakukannya demi menyara keluarga atau membeli but serta menyertai sesi pemilihan pasukan tertentu.

Antara pemain yang menjadi kebanggaan dan harapan keluarga adalah penjaga gol utama Terengganu FC (TCFC) dan pelatih skuad bawah 19 (B-19) tahun negara, Muhammad Rahadiazli Rahalim.

Anak kepada pemandu bot pelancong itu melalui laluan berliku untuk berada di tempatnya sekarang, malah pernah bekerja sebagai nelayan sebelum berkecimpung dalam bidang bola sepak.



Muhammad Rahadiazli berkata, amalan jimat cermat diterapkan dalam keluarga memandangkan ayah hanya bergaji RM1,200 sebulan sekali gus perlu menyara dia dan lima beradik lain.

“Jika saya inginkan sesuatu perlu berusaha sendiri dengan menyimpan wang belanja sekolah atau bekerja kerana tidak boleh mengharapkan wang daripada ayah saja berikutan perlu menampung perbelanjaan lain.

“Saya melakukan banyak pekerjaan dan paling tak boleh dilupakan adalah mengikut rakan ke laut sebagai nelayan, walaupun agak sukar tapi itu adalah pengalaman menyeronokkan,” kata anak ketiga daripada lima beradik itu.

Situasi sama turut dilalui bekas pemain kebangsaan dan Kelantan, Mohd Badhri Radzi yang pernah bekerja sebagai tukang rumah dan pelayan katering untuk menampung perbelanjaan harian.



Mohd Badhri atau lebih mesra dengan panggilan Piya berkata, pengalaman paling tidak dilupakan apabila tiada wang untuk membeli kasut bola kain yang hanya berharga RM8 saja.

“Bayangkan waktu itu nak beli kasut bola kain pun tak ada duit, malah nak pergi ke sesi pemilihan dan latihan pula perlu berjalan untuk jimat perbelanjaan.

“Waktu dulu hanya mampu bermimpi untuk menyarung jersi pasukan negeri atau kebangsaan kerana kekurangan yang ada agak mustahil untuk mencapai impian itu.

“Namun setiap individu sudah tertulis rezeki masing-masing dengan kesenangan diperoleh sekarang ini sebenarnya adalah atas usaha serta kesusahan yang pernah dilalui sebelum ini,” katanya.



Selain dua pemain itu, dua bintang bola sepak negara, Safawi Rasid dan Luqman Hakim Shamsudin juga pernah menjadi tukang rumah dan penghantar makanan sebelum meniti kemahsyuran.

HM

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker