PENGORBANAN

Aidilfitri berlalu pergi. Kini muncul pula Aidiladha.

Hari Raya Aidiladha mengingatkan kita kepada kisah Nabi Ibrahim AS yang diperintahkan Allah SWT untuk mengorbankan dengan menyembelih anak yang disayanginya, Nabi Ismail AS.

Baginda menerima dan menjunjung perintah Allah SWT.

Ketika hendak dikorbankan, tempat Nabi Ismail AS ditukar Allah SWT dan digantikan dengan seekor kibas.

Apakah pengajaran yang kita dapat daripada peristiwa ini?

Keikhlasan dan ketaatan kepada Allah SWT.

Kepercayaan dan keyakinan akan ketentuan dan perancangan Allah SWT.

Kerana pasti ada hikmah di sebalik suruhan buat hamba-Nya, di dunia mahupun di akhirat.

Aidiladha juga mengingatkan kita mengenai erti pengorbanan.

Ya. Pengorbanan.

‘Berkorban’ atau ‘pengorbanan’ amat mudah untuk dituturkan.

Namun, adakah ia mudah untuk dilakukan?

Adakah kita redha? Adakah kita berani? Adakah kita bersedia?

Pengorbanan juga membawa erti yang berbeza kepada setiap insan.

Di pelbagai peringkat dan tanggungjawab, nilai dan tahap pengorbanannya juga tidak sama ukurannya.

Cukupkah kekuatan di hati kita untuk melakukan pengorbanan terhadap harta, perkara atau orang yang kita sayangi?

Dari menjadi Ahli Parlimen dan ADUN, sehinggalah menjadi pemimpin kerajaan.

Dari menjadi ahli biasa parti, sehinggalah menjadi pemimpin parti.

Setiap peringkatnya memerlukan pengorbanan yang besar.

Sebesar pengorbanan memecahkan genggaman kuasa politik di UMNO, kepada pengorbanan menyelesaikan masalah legasi yang diwarisi.

Seluas dasar yang merakyatkan kerajaan dan memberikan segala kemampuan yang ada kepada golongan yang benar-benar memerlukan, semestinya pengorbanan melukakan kroni-kroni mereka yang disayangi.

Seberat tanggungjawab memikul bahtera UMNO dan Barisan Nasional, berjuta-juta ahli dan berjuta-juta rakyat yang diperjuangkan.

Dengan keperluan yang perlu ditampung dan dijamin kelangsungan, dari pusat ke bahagian ke cawangan dan ke akar umbi, yang akhirnya disampaikan jua kepada tangan rakyat, meringankan beban yang ada.

Sehinggalah pengorbanan peribadi – masa dan keluarga dari fajar Subuh hingga ke senja mentari.

Apakah harga pengorbanannya? Apakah balasan pengorbanan yang diterimanya?

Tidak sesekali mengharapkan penghargaan atau balasan.

Biarpun yang tinggal hanya penghinaan dan penghinaan.

Kerana tanggungjawab dan pengorbanannya dilaksanakan dengan amanah, ikhlas dan ketaatan berlandaskan ajaran Allah SWT.

Sama-samalah kita menghayati erti pengorbanan sempena Hari Raya Aidiladha ini.

Ingatlah. Sekecil mana pun pengorbanan, sangat besar nilainya kepada orang yang memerlukan.

Semoga Allah menerima amalan kita dan merahmati semua.

Tenang fikiran saya. Lapang hati saya.

Selamat Hari Raya Aidiladha saudara saudari.

Najib Razak.

Related Articles

One Comment

  1. Subhanallah, tidak mungkin kata2 datang dari orang bersalah seperti diatas yang diungkapkan DS Najib
    silap itu tidak dapat dinafikan kerana mudah mempercayai orang membuat dirinya menjadi korban terpaksa menerima beban dipersalahkan

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker