Kerajaan umumkan lanjutan moratorium
Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar yang lebih bertumpu, khusus untuk golongan yang benar-benar memerlukan.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata antara golongan yang mendapat bantuan itu individu yang kehilangan pekerjaan pada 2020 dan masih belum mendapat pekerjaan baru.
“Anda akan menikmati moratorium lanjutan bersasar untuk tempoh 3 bulan. Selepas 3 bulan, tempoh moratorium boleh dilanjutkan oleh bank-bank bergantung kepada situasi individu masing-masing,” katanya dalam perutusan khas hari ini.
Keputusan itu dicapai selepas berbincang dengan menteri kewangan dan gabenor Bank Negara untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh sebahagian rakyat yang masih memerlukan bantuan selepas tempoh moratorium 6 bulan berakhir pada September.
Dalam pada itu, Muhyiddin mengumumkan bantuan bagi individu yang masih bekerja tetapi gaji terjejas atau berkurangan akibat Covid-19.
Bagi golongan itu, bayaran ansuran bulanan akan dikurangkan selaras dengan kadar pengurangan gaji, bergantung kepada jenis pinjaman.
“Contohnya, bagi pinjaman perumahan atau pinjaman peribadi, bayaran ansuran bulanan akan dikurangkan pada kadar yang sama dengan pengurangan gaji.
“Bantuan ini untuk tempoh sekurang-kurangnya 6 bulan dan lanjutan boleh diberikan tertakluk kepada keadaan gaji semasa individu berkenaan,” katanya. FMT
You must be logged in to post a comment.