Harga emas cecah paras tertinggi dalam sejarah
Harga emas yang mencecah paras tertinggi dalam sejarah hari ini berpotensi melepasi AS$2,000 (RM8,503.50) seauns atau kira-kira RM300 segram, disebabkan tekanan lebih besar ke atas ekonomi.
Penganalisis Kanan Penyumberan MineLife, Gavin Wendt, berkata tumpuan ketika ini beralih kepada mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) minggu ini dengan wujudnya ramalan pelaksanaan langkah seterusnya dalam memacu ekonomi termasuk kemungkinan kadar faedah pada paras negatif.
“Situasi ini akan memberi tekanan lebih banyak dan menolak emas melepasi paras AS$2,000 seauns
“Wujud kebimbangan mengenai data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS yang lebih buruk daripada jangkaan pada suku kedua mencetuskan penjualan dolar,” katanya.
Wendt berkata, selain kelemahan dolar AS menjadi pemangkin utama peningkatan emas, momentum positif logam berharga itu juga dipacu daya tarikannya sebagai aset selamat di tengah-tengah pergolakan perdagangan AS-China.
“Kenaikan kukuh memang tidak dapat dielakkan sama seperti mana pasca krisis kewangan global,” katanya.
Harga emas mencecah paras tertingginya kepada AS$1,944.71 (RM8,268.43) seauns atau sekitar RM291.66 segram hari ini, mengatasi paras tertinggi AS$1,921.18 (RM8,168.60) atau RM288.14 segram yang dicatatkan pada 2011.
Penganalisis berkata, lonjakan harga logam berharga itu dicetuskan oleh kebimbangan mengenai ketegangan antara China dan AS serta peningkatan kes jangkitan COVID-19 di seluruh dunia.
Katanya, kekurangan isyarat jelas dan kemajuan dalam pakej rangsangan baharu di Washington juga mencetuskan impak positif kepada emas.
“Langkah Fed melaksanakan langkah pelonggaran monetari besar-besaran menyaksikan dolar AS lebih rendah sekali gus melonjak harga emas.
“Pelabur juga mula mempertimbang kesan ekonomi jangka panjang disebabkan COVID-19 dan kini kurang memasuki pasaran ekuiti selepas pasaran saham mencatat kenaikan,” katanya. BH
You must be logged in to post a comment.