Penyeludup di Johor macam cacing kepanasan
KETUA Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay terkenal dengan ketegasannya dalam membanteras elemen keganasan dan penyeludupan.
Sebelum menjawat jawatan itu pada Februari lalu, Ayob, 54, ialah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antikeganasan, Cawangan Khas Bukit Aman dan telah menangkap beratus-ratus individu yang dipercayai terlibat dalam aktiviti militan.
Malah, pengganas warga Malaysia, Muhammad Wanndy Mohamad Jedi pernah mengeluarkan ancaman bunuh terhadap Ayob sebelum dia terbunuh di Syria pada 2017. Ancaman berkenaan adalah permulaan kepada pelbagai ugutan berat lain terhadap diri Ayob sehingga sekarang.
Dalam wawancara bersama wartawan Sinar Ahad, Nor Azura Md Amin dan Zulhisham Isahak di Johor Bahru minggu ini, Ayob Khan menegaskan bahawa beliau tidak takut menerima ugutan bahkan berjanji para penyeludup tidak akan dapat tidur lena selagi beliau menjadi Ketua Polis Johor.
SINAR AHAD: Sebagai Ketua Polis Johor, apakah cabaran dan perbezaannya berbanding tugas Datuk di Bukit Aman sebelum ini?
AYOB: Memang ada perbezaan yang amat ketara antara tugas saya sebelum ini sebagai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antipengganas (E8), Cawangan Khas Bukit Aman dan sekarang sebagai Ketua Polis Johor. Dulu saya ambil tanggungjawab isu keganasan sahaja, bila jadi Ketua Polis Johor, tugasnya lebih besar. Isu yang paling penting ialah jenayah narkotik, penyalahgunaan dadah, gengsterisme dan jenayah indeks seperti bunuh, rogol, samun dan curi kenderaan.
Kemudian, negeri Johor ini memiliki kawasan pesisiran pantai sepanjang 530 kilometer, sebelah pantai barat Johor saja pantainya sejauh 220 kilometer. Disebabkan kawasannya luas, banyaklah pula isu lain termasuk isu penyeludupan manusia, barang dan kontraban seperti rokok dan arak. Johor pula bersempadan dengan dua buah negara iaitu Indonesia dan Singapura. Jadi ada isu bilateral dengan negara berkenaan. Selain itu, Johor juga berhadapan isu-isu berkaitan politik. Semua ini ada di Johor.
Tetapi saya anggap perkara ini sebagai satu peluang, bukan satu masalah. Kalau kita nak jadi pemimpin yang bagus, mantap dan berpengalaman, kita kena letak di tempat-tempat yang banyak cabaran seperti di Johor. Di tempat yang mencabar itu kita akan lihat sejauh mana kemampuan pegawai kita berfungsi secara efektif.
Datuk baru tujuh bulan menjadi Ketua Polis Johor tetapi Datuk dan pasukan telah berjaya membanteras kegiatan penyeludupan yang sudah berakar umbi di negeri ini. Apakah strategi dan kekuatan Datuk?
Yang pertama, alhamdulilah, saya mempunyai sebuah pasukan yang amat mantap. Saya boleh katakan 95 peratus pegawai dan anggota PDRM di Johor semuanya berdedikasi, komited dan berintegriti. Mereka beri sokongan padu kepada semua misi atau arahan saya.
Satu contoh, antara pegawai yang bagus ialah Senior Asisten Komisioner Md Yusof Ahmad, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor. Beliau berpengalaman dalam menangani isu-isu jenayah dan pendatang asing tanpa izin (PATI). Beliaulah penggerak utama operasi di Johor dengan dibantu anggota bawahan.
Beliau juga mencetuskan idea untuk tangkap PATI di bawah kesalahan jenayah terancang. Bila tangkap di bawah jenayah terancang, kita boleh tangkap semua elemen yang terlibat dalam penyeludupan PATI seperti ketua sindiket, ejen mengurus keluar masuk migran, tukang urus pengangkutan, tekong darat, tekong laut, penjaga rumah penampungan dan anggota penguat kuasa yang bersubahat. Semuanya kita dapat tangkap dan tuduh di bawah Kanun Keseksaan.
Dalam konteks operasi ke atas PATI, Johor menjadi perintis. Kita telah pun melancarkan Ops Pintas Bersepadu Selatan pada 21 April lalu sebelum Ops Benteng Laut dilancarkan pada Jun lalu. Format yang kita gunakan pada Ops Pintas Bersepadu adalah gabungkan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin, Jabatan Imigresen dan Kastam Diraja Malaysia. Format ini juga yang digunakan dalam Ops Benteng Laut.
Bagaimana Datuk melihat perbezaan aktiviti penyeludupan di perairan pantai barat Johor seperti Batu Pahat, Muar dan Pontian berbanding pantai timur Johor seperti di Kota Tinggi?
Sebenarnya isu penyeludupan ini sama. Cuma selepas Covid-19 aktiviti ini lebih banyak berlaku di pantai timur iaitu di Kota Tinggi. Daerah ini terletak paling hampir dengan Batam dan Bintan di Indonesia iaitu dalam 30 atau 40 minit perjalanan menaiki bot dari sana. Kalau duduk di Batam, kita boleh nampak Kota Tinggi, itu yang mereka jadikan panduan. Kawasan di sebelah pantai timur memang mudah untuk PATI mendarat terus ke pantai, ada banyak laluan selain kawasan yang luas.
Pantai barat Johor pula bergantung kepada pasang surut air laut, kalau air surut, bot akan sangkut. Kawasannya berbakau dan berpaya, jadi penyeludup kena ambil masa dan ada masalah sedikit. Sebab itu aktiviti penyeludupan migran kurang sedikit di situ walaupun dekat dengan Pulau Karimun dan dua tiga pulau lain.
Alhamdulilah di sebelah pantai timur, 95 peratus kita sudah banteras manakala di pantai barat kita sedang beri tumpuan sekarang. Dadah pun kita ada buat tangkapan.
Dalam tempoh beberapa minggu lalu, ramai penguat kuasa ditangkap berhubung penyeludupan migran khususnya di Johor. Apakah mesej yang ingin Datuk sampaikan?
Kejadian agensi penguat kuasa bersekongkol dengan elemen-elemen penyeludupan bukan perkara baharu. Mungkin dulu tindakan yang diambil ialah tindakan tatatertib yang bersifat dalaman. Jarang kita dengar pegawai agensi penguat kuasa ditangkap dan dituduh di mahkamah tetapi ini banyak berlaku selepas Covid-19.
Ketika saya melapor diri pada 24 Februari sebagai Ketua Polis Johor, saya sudah tegaskan, isu integriti saya tidak akan bertolak ansur. Pelanggaran tatatertib, bersekongkol dengan penjenayah dan penyeludup, saya tidak lagi akan buat siasatan dalaman atau serah kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard seperti kebiasaan.
Kalau ambil rasuah saya akan tangkap di bawah Kanun Keseksaan. Saya dah tangkap anggota trafik yang disyaki mengambil rasuah, saya juga sudah tahan anggota bahagian narkotik Muar yang bersekongkol dengan aktiviti penyeludupan dadah. Tangkap dan tuduh di mahkamah. Pada saya tidak ada lagi tolak ansur. Kalau kita tidak tunjukkan ketegasan, sampai bila-bila isu berkaitan rasuah, integriti, persekongkolan pegawai dan anggota dengan sindiket ini tidak akan habis.
Jadi proses ‘pembersihan’ ini akan dilakukan secara berterusan?
Insya-ALLAH selagi saya di Johor, saya akan pastikan pembersihan dibuat secara berterusan.
Ini bukan bermusim. Selagi saya ada di Johor selagi itulah saya akan pastikan pembersihan berterusan dibuat. Pihak-pihak tertentu atau dalam polis sendiri mungkin tidak berpuas hati atau tidak bersetuju dengan tindakan saya. Mereka ada pandangan sendiri, saya ada pendirian saya sendiri. Orang boleh cakap apa pun tentang saya, tapi saya akan jalankan tugas berpegang kepada integriti. Itulah polisi yang diperjuangkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan itulah teras yang diutamakan kerajaan sekarang.
Kita bukan lagi berada pada tahun 1970-an, 1980-an, 1990-an atau 2000, yang kalau kita buat apa pun (salah laku) kita anggap orang takkan tahu. Sekarang apa yang berlaku, orang ramai tahu cerita itu secara terperinci, pegawai polis ini makan rasuah, pegawai itu makan rasuah.
Mungkin sesetengah daripada dakwaan itu tak betul tapi ada dakwaan yang kita siasat memang betul.
Ketegasan Datuk dalam membanteras jenayah mendapat perhatian bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang meminta Datuk berjaga-jaga terhadap tindak balas pihak berkaitan. Apakah komen Datuk?
Tan Sri Musa Hassan pernah jadi Ketua Polis Johor dan banyak tindakan yang beliau telah ambil. Saya rasa nasihat itu sangat berguna.
Saya sejak berada dalam E8 lagi banyak terima ugutan. Saya memang sentiasa berjaga-jaga kerana musuh ada di sekeliling saya sama ada musuh luar atau dalam, sama ada musuh dalam negeri atau luar negeri. Namun dalam kita berhati-hari jangan sampai kita rasa takut, lemah semangat hingga kita tidak dapat atur strategi berterusan.
Khabarnya ada penyeludup yang berani mengugut Datuk?
Ugutan itu saya terus terima, bukan sekali tetapi banyak kali. Dua tiga hari lepas pun ada satu lagi. Jadi saya rasa ugutan itu tidak akan habis sebab apabila tindakan berterusan diambil ke atas mereka, pihak terlibat seperti tekong terkena kesannya. Ini memang bisnes mereka dan dapat hasil daripada kegiatan itu. Di sebelah Batam, tekong-tekong ada bermacam-macam bot dalam gudang mereka. Bot yang mempunyai empat atau lima enjin pun ada, itu bisnes mereka.
Bila kita buat operasi di pantai timur, 95 peratus mereka yang terlibat kegiatan penyeludupan telah ditangkap, mereka tidak dapat bergerak. Ada yang kita tangkap dalam minggu ini hanya melibatkan bot kecil yang boleh bawa empat atau lima orang sahaja. Sebelum ini mereka gunakan bot besar yang boleh bawa 120 hingga 150 orang dalam sebuah bot.
Sekarang tidak ada kes penyeludupan PATI disebabkan operasi ini. Jadi, periuk nasi mereka terjejas teruk. Apabila kita cakap dalam konteks penyeludupan PATI, ini bukan berkaitan PATI sahaja tapi ada elemen dadah seperti syabu yang diseludup keluar dari Malaysia ke Indonesia. Itulah sebabnya mereka seperti cacing kepanasan. Mereka betul-betul terusik dan amat kecewa. Orang kecewa akan buat macam-macam perkara.
Ayob sebelum dilantik Ketua Polis Johor bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antipengganas (E8), Cawangan Khas Bukit Aman.
Selain penyeludupan migran, isu kontraban juga serius di Johor. Bagaimana Datuk menanganinya?
Kontraban ialah isu serius di Johor. Arak dan rokok seludup banyak. Sebelum saya mulakan tugas di Johor pun sudah ramai orang beri maklumat kepada saya. Ada orang kampung di Mersing hantar satu klip video kepada saya yang menunjukkan sebuah kereta peronda polis di depan dan sebuah lagi dengan siren di belakang, di antara dua kereta peronda ada dua lori yang tertutup di tengah-tengah. Jadi orang kampung tadi beritahu, ‘Datuk tengok inilah polis yang escort penyeludup rokok dan arak’. Sama ada betul tidak betul saya tidak tahu, tapi itu maklumat yang orang kampung hantar kepada saya.
Bisnes penyeludupan kontraban amat menguntungkan. Keseluruhan kes penyeludupan di Malaysia telah mengakibatkan kerajaan rugi RM5 bilion cukai setahun. Selepas ini kita akan tumpukan kepada aktiviti penyeludupan kontraban di Johor. Kalau kita boleh tangani isu ini, maka rokok yang dibawa masuk dapat dikutip cukai.
Asal usul kumpulan militan dikatakan banyak dari Johor. Mengapakah Johor dikaitkan dengan militan seperti Nordin Mat Top dan sebagainya?
Sebenarnya bukan Johor yang jadi pusat militan. Segalanya bermula apabila Abdullah Sungkar dan Abu Bakar Basyir yang dahulunya anggota Darul Islam, dan kini Jemaah Islamiah, lari dari Indonesia pada April 1985 dan berkampung di Ulu Serting, Negeri Sembilan. Itu pusat awal mereka pada 1985.
Pada 1993, mereka berpindah ke Ulu Tiram, Johor Bahru dan di situlah mulanya kegiatan mereka di Ulu Tiram termasuk Madrasah Lukmanul Hakim selain merekrut pensyarah-pensyarah UTM seperti Nordin Md Top, Azahari Husin dan Datuk Abdul Daud.
Tempat ini masih ada lagi di Ulu Tiram. Bekas anggota Jemaah Islamiah yang kita tahan di bawah ISA dulu masih ada di situ. Saya juga masih berinteraksi dan menziarahi mereka. Salah seorangnya bernama Pak Abu Matin yang terlibat menyembunyikan Mas Selamat Kastari selepas dia melarikan diri pada 2008 dan sembunyi di Skudai hingga 2009. Kami masih berhubung. Saya yakin mereka takkan terlibat kembali dalam aktiviti keganasan.
Baru-baru ini Datuk ada mengaitkan Rukun Negara dengan isu keselamatan dan keamanan. Apakah yang Datuk maksudkan?
Saya pernah ketengahkan isu Rukun Negara apabila kita buat tangkapan seorang suspek yang terlibat dalam komen jelik terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Ada juga komen, kenapa Ketua Polis Johor cakap pasal Rukun Negara, apa kena-mengena jenayah dengan Rukun Negara?
Bagi saya kalau semua rakyat Malaysia pegang Rukun Negara, kita takkan terlibat dalam perbuatan tak elok. Contohnya, prinsip kedaulatan undang-undang. Kalau kita tidak menghormati undang-undang, macam mana negara nak aman?
Kita juga jangan ada dua set undang-undang. Kalau orang awam kena tahan masuk lokap, takkan bila kena pada orang politik, mereka cakap tak boleh tangkap, cuma ambil keterangan. Sebagai rakyat Malaysia, kita wajib hayati Rukun Negara, insya-ALLAH Malaysia aman.
PROFIL
Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay
Jawatan sekarang: Ketua Polis Johor
Umur: 54 tahun
Asal: Pendang, Kedah
Anak: Dua orang
Pendidikan: Sarjana Teknologi Informasi daripada Universiti Kebangsaan Malaysia
Tempoh bersama PDRM: 29 tahun
Pengalaman:
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antipengganas (E8), Cawangan Khas Bukit Aman
ANEKDOT
Tangkap pengganas serang New York di Langkawi
Saya banyak pengalaman semasa bertugas dalam Unit E8 Cawangan Khas. Boleh dikatakan semua operasi besar melibatkan aktiviti keganasan dengan elemen antarabangsa, saya terlibat sama ada sebagai pegawai kes, pegawai penyelaras, pegawai perhubungan dan sebagainya.
Kejayaan pertama saya adalah pada tahun 1995. Kita buat tangkapan ke atas seorang suspek yang terlibat dalam serangan pertama ke atas Pusat Dagangan Dunia di New York, Amerika Syarikat (AS) pada 1993. Dia suspek pertama yang ditangkap. Namanya Wali Khan Amin Shah. Selepas lakukan serangan, dia lari ke Manila, Filipina sebelum ke Langkawi. Dia ditangkap di Langkawi pada Disember 1995. Selepas itu kita dapat surat penghargaan daripada Presiden AS ketika itu, Bill Clinton.
Kita juga tangkap suspek serangan 9/11 di AS sebelum serangan itu berlaku pada 2001. Saya ialah pegawai kes Khalid Al-Midhar, suspek yang pandu pesawat dan merempuh bangunan Pentagon. Dia masuk ke Malaysia pada Disember 1999. Saya ikut dia masa di lapangan terbang. Saya sediakan laporan apabila dia keluar dari Malaysia pada Januari 2000. Tetapi pihak Amerika tidak berkongsi maklumat itu dalam kalangan mereka. Itulah antara sebab berlaku peristiwa 9/11.
Sangka akan pencen polis dengan pangkat ACP saja
Saya betul-betul ingat bila masuk polis dulu saya hanya akan pencen dengan pangkat Asisten Komisioner Polis iaitu pangkat ACP. Saya bukan yang jenis menonjol termasuk masa di universiti atau sekolah. Saya seorang yang tidak banyak cakap, itu karakter saya.
Bila masuk polis, saya pula bukan jenis orang yang pandai bodek bos. Saya tak pandai benda-benda itu. Saya ingat saya akan pencen ACP sahaja. Pada 1996, pangkat ACP sudah besar. Tapi alhamdulilah, saya berada di mana saya sekarang.
90 peratus aduan diterima menerusi Facebook
Saya dapat banyak maklumat daripada orang awam melalui Facebook. Setakat ini, 90 peratus daripada maklumat yang mereka beri adalah betul. Ada juga yang minta nombor telefon saya. Mungkin bagi sesetengah Ketua Polis Negeri tak mahu berkongsi nombor telefon, tetapi saya tak kisah. Ada yang hantar WhatsApp gambar pusat-pusat hiburan haram. Saya majukan aduan itu kepada Ketua Polis Daerah, bila diperiksa memang betul aduan itu.
Banyak tangkapan yang kita buat bersama pasukan tentera di kawasan pantai adalah hasil maklumat orang awam. Orang awam yang beri maklumat dia akan tengok juga, kalau dia beri 10 maklumat, satu pun kita tak ambil tindakan, dia juga akan kata polis pun dua kali lima.
SH