Dapat duit BPN, dadah yang dibelinya

SEORANG lelaki sanggup menggunakan wang Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang baru diperoleh semata-mata untuk membeli dadah.

Lelaki berusia 30 tahun itu bagaimanapun ditahan polis dalam pemeriksaan di Desa Mentari, di Petaling Jaya menerusi Op Sarang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya yang berakhir 6 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya membuat pemeriksaan secara berasingan di beberapa lokasi antaranya Taman Medan, Taman Dato Hormat, Kampung Lindungan dan Pangsapuri Desa Mentari.

“Hasilnya, seramai 21 individu berusia antara 30 hingga 40 tahun termasuk seorang wanita ditahan kerana terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

“Dalam pemeriksaan itu juga, polis berjaya merampas air ketum sebanyak 220 mililiter (ml) dan dadah jenis syabu seberat 5.66 gram serta ganja seberat 4.20 gram,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, ketika pemeriksaan, pihaknya mendapati terdapat individu yang ditahan sanggup menggunakan rumah keluarga mereka untuk melepaskan gian.

“Ada antara mereka membeli dadah menggunakan wang BPN selain menyewa hotel bagi mengelakkan ditahan menggunakan wang bantuan itu.

“Kita juga menahan pasangan kekasih yang berkongsi dadah untuk melepaskan gian,” katanya.

Menurutnya, semua individu yang ditahan dibawa ke Balai Polis Petaling Jaya untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6, Seksyen 12(2), Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 selain Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya. HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker