Anwar nafi PH beri laluan geng Dr M tanding di PRK Slim
Pakatan Harapan belum memutuskan untuk memberi laluan kepada kumpulan serpihan PPBM yang diketuai Dr Mahathir Mohamad bertanding pada Pilihan Raya Kecil Slim, kata Presiden PKR dan Pengerusi gabungan itu, Anwar Ibrahim.
“Kita sudah putuskan, pertamanya PH akan berunding dengan pecahan Mahathir sebab mereka bertanding pada pusingan sebelum ini. Jadi, ada salah faham tentang apa yang dikatakan (bekas) setiausaha agung (PPBM).
“Keputusan kami adalah untuk berunding dengan mereka, bertanya apakah pandangan mereka. Pada Selasa, PH akan bertemu untuk putuskan. Pada PRK DUN Chini sebelum ini, kebimbangan kami adalah Covid-19 dan ruang lingkup terhad untuk berkempen.
“Kita akan dapatkan keputusan pada Selasa. Saya juga tidak menyedari perjumpaan yang mereka laksanakan. Kita akan hantar wakil untuk berbincang dengan wakil pasukan Mahathir,” katanya dalam sidang media di Port Dickson hari ini.
Terdahulu, media melaporkan bekas setiausaha agung PPBM, Marzuki Yahya berkata, kumpulannya akan meletakkan calon pada PRK Slim selepas mendakwa seorang ahli Majlis Presiden PH memberitahu gabungan pembangkang itu tidak akan bertanding pada PRK kali ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya pada Jumaat lepas menetapkan PRK DUN Slim akan diadakan pada 29 Ogos ini dengan hari pencalonan pada 15 Ogos dan pengundian awal pada 25 Ogos.
PRK berkenaan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Khusairi Abdul Talib, 59, akibat serangan jantung pada 15 Julai lepas.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lali, Khusairi yang mewakili Barisan Nasional mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon PPBM yang bertanding atas tiket PKR, Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.
PRK DUN Slim merupakan PRK ke-12 selepas PRU14 pada Mei 2018. FMT
You must be logged in to post a comment.